SHAH ALAM 26 Jun - Setelah berjaya mencipta nama dalam bidang sukan, ratu boling negara, Shalin Zulkifli mula mengorak langkah sebagai ahli perniagaan pula dengan membuka akademi dan pusat boling bertaraf antarabangsa.
Pusat boling bernilai RM3 juta yang dikenali sebagai Shalin's Bowl berkenaan akan dibuka pada penghujung September ini di pusat beli-belah baharu, Space U8, Shah Alam, Selangor.
Shalin berkata, Shalin's Bowl akan menyediakan kemudahan boling 24 lorong serba moden dan kemudahan serta peralatan latihan yang lengkap untuk pelatih akademinya.
Katanya, akademi boling yang disediakan oleh Shalin's Bowl merupakan yang pertama di negara ini dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat dalam sukan ini.
"Shalin's Bowl akan menawarkan suasana yang menarik dan berbeza berbanding pusat boling lain, di mana segala kemudahan serta landskapnya menampilkan ciri-ciri moden.
"Dengan kewujudan Shalin's Bowl, orang ramai kini mempunyai pilihan aktiviti untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan, selain menjadi pusat latihan intensif pemain boling amatur atau profesional" katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Shalin selaku Pengarah Urusan Shalin's Bowl, berkata, sebelum ini beliau pernah berkecimpung dalam perniagaan pusat boling di Damansara tetapi hanya sebagai pemegang saham sahaja.
"Kini saya sudah melupuskan semua saham tersebut dan mahu mengusahakan pusat boling sendiri.
"Shalin Bowl's merupakan impian saya dan akan menjadi sumber pendapatan utama apabila sudah tidak bergiat aktif dalam sukan boling," jelasnya.
Katanya lagi, Shalin Bowl's di Space U8 akan menjadi perintis dalam usaha untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa depan.
"Jika semuanya berjalan lancar dan berjaya di sini, Insyaallah saya akan membuka cawangan baharu demi memperjuangkan sukan ini,'' katanya lagi.
Sementara itu, Shalin berkata, antara matlamat utama penubuhan Shalin Bowl's adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain boling tempatan yang mampu menyinar di peringkat antarabangsa pada masa depan.
"Walaupun negara telah melahirkan ramai pemain boling bertaraf dunia, namun tiada pusat pembangunan khusus untuk sukan tersebut dan hanya bergantung sepenuhnya kepada inisiatif kerajaan," ujarnya.
Tambah beliau lagi, beliau dan suaminya, Azidi Ameran akan bertindak selaku jurulatih selain dibantu oleh beberapa tenaga pengajar yang lain.
sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment