Rabu, Julai 17, 2013

4 cara bersyukur ketika hadapi penolakan jualan

bersyukur walaupun jualan ditolak

oleh: Rosli Baharuddin

Amat mengecewakan apabila dengan begitu mudah kita kehilangan apa yang kita hajati ketika melakukan jualan. Ia merupakan suatu perasaan kehilangan yang besar dan cukup merugikan apabila ianya benar-benar terjadi.

Kita merasa yakin untuk mengecapinya dengan mudah tetapi malangnya dengan mudah peluang ini hilang sekelip mata. Inilah antara halangan terbesar dan yang paling ditakuti oleh kita ketika mahu melakukan sesuatu jualan.

Apa yang disangka mudah untuk memperolehinya sebenarnya tidak mudah untuk kita perolehinya ketika melakukan jualan. Antara kegagalan biasa yang kita hadapi ketika melakukan jualan ialah seperti:

  • Gagal dalam mendapatkan penutupan jualan
  • Gagal dalam mendapatkan temu janji
  • Gagal untuk bertemu dengan prospek walaupun temu janji telah ditetapkan
  • Gagal memberikan sinar harapan kepada bakal pembeli atau pelanggan ketika pembentangan jualan dilakukan
  • Gagal mendapatkan kembali para pelanggan yang telah setia berurusan dengan kita.

Ia sememangnya amat mengecewakan tetapi secara jujurnya kita perlu dengan rela hati menerimanya dengan hati yang terbuka. Ya, ianya agak menyedihkan tetapi kita perlu sedar bahawa ia bukanlah pengakhiran karier kita dalam jualan.

Bersyukur walaupun jualan ditolak

Pasti ada hikmah, pengajaran dan iktibar disebalik apa yang berlaku. Sebaik-baik tindakan yang perlu kita lakukan bila mengalami kegagalan ini ialah bersyukur kepada Allah, berfikiran positif dan melakukan perkara-perkara seperti berikut:

#1 – Redha Atas Apa Yang Terjadi

Tak perlu bersedih memikirkan apa yang telah berlaku. Terimanya dengan seadanya. Ini kerana setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Sekali gagal bukanlah bererti gagal selama-lamanya. Teruskan sahaja usaha yang anda lakukan, pasti akan ada kejayaan yang menanti tanpa kita ketahui. Yang penting teruskan saja usaha tanpa mengenal erti putus asa dan kecewa.

#2 – Tetapkan Kembali Mindset

Tetapkan dalam diri kita bahawa dalam setiap kegagalan yang berlaku ialah merupakan satu cabaran yang perlu ditempuh dengan hati yang terbuka tanpa adanya rasa kecewa dan putus asa.

Apa yang kita lakukan ialah buat dengan sebaik mungkin. Bukan dengan angan-angan kosong tapi lakukannya dengan penuh matlamat untuk mencapai kejayaan. Fikir yang positif agar tindakan juga akan turut positif.

#3 – Sentiasa Muhasabah Diri

Berfikir semula  dan bermuhasabah diri mencari di mana salah dan silap kita di atas kegagalan yang dilalui. Sentiasa mengkaji dan mengetahui silap diri agar kita tidak sama sekali mengulangi apa yang telah kita lakukan pada masa depan.

Jika anda mahu berjaya, anda perlulah sentiasa melakukan bedah siasat agar apa jua yang kita lakukan sentiasa kelihatan sempurna di hadapan bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui.

#4 – Tidak Putus-Putus Berdoa

Sentiasalah meminta dan berdoa kepada Allah sama ada urusan tersebut berjaya ataupun tidak. Mintalah kepada Allah agar segala tugasan kita sentiasa dipermudahkan.

Dan jangan lupa minta juga kepada Allah agar setiap bakal pembeli atau pelanggan yang ditemui terbuka hati untuk menerima produk yang ditawarkan dengan mudah sekali.

Hanya pada Allah tempat kita meminta dan hanya pada Allah sahaja tempat kita menyerahkan diri kita. Tapi kena ingat doa perlu disusuli dengan usaha kerana jika hanya berdoa tanpa usaha,  sudah pasti hasilnya tidak ke mana.

Bersyukur walaupun penolakan jualan berlaku

Yang paling penting ialah jangan sesekali mudah putus asa dan kecewa. Kita perlu sentiasa cuba dan mencuba lagi sehingga berjaya. Ingatlah bahawa gagal sekali bukanlah bermakna gagal segala-galanya. Pasti ada jalan penyelesaiannya yang akan menyinarkan harapan buat diri kita.

Kita perlu bersedia untuk mengalami kegagalan pada bila-bila masa untuk beroleh kejayaan yang gemilang. Sentiasa ada jalan jika kita tidak putus-putus berusaha. Semuanya adalah ketentuan Allah, asalkan apa jua yang kita lakukan ini dibuat dengan bersungguh-sungguh dan konsisten.

Usah sedih, kalut dan resah jika anda mengalami kegagalan. Lakukannya dengan sebaik mungkin agar kita mampu mengecapi kejayaan dengan lebih mudah pada masa hadapan.

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...