Tuesday, July 23, 2013

Eksklusif baju Melayu denim


ABD. LATIF sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia fesyen baju Melayu.


BAJU Melayu sinonim dengan sambutan Aidilfitri. Bagaikan menjadi pakaian rasmi pada 1 Syawal, pelbagai warna busana tradisional itu memeriahkan lagi sambutan lebaran.
Baju Melayu teluk belanga dan baju Melayu cekak musang sudah menjadi signatur pakaian tradisi itu sejak zaman berzaman. Namun, perkembangan fesyen global menuntut perubahan kepada gaya penampilan busana itu.
Seiring transformasi tersebut, butik baju Melayu Lat’s Collection turut tidak mahu ketinggalan meraikan perubahan global dengan menyuntik elemen moden dalam sehelai baju Melayu.
Memperkenalkan fesyen-fesyen baru yang lari daripada gaya statik pakaian itu, pemilik Lat’s Collection, Abd. Latif Saiman, 45, menjelaskan permintaan generasi baru terhadap baju Melayu tidak pernah surut saban tahun, biarpun perlu bersaing dengan pelbagai pakaian moden lain.
“Golongan muda tidak mahu kalah dalam berfesyen pada hari lebaran. Bagaimanapun generasi muda lebih berminat dengan gaya-gaya terkini dalam rekaan baju Melayu,” kata Abd. Latif ketika ditemui di gerai jualannya yang berlokasi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Jika pada tahun-tahun sebelumnya, Abd. Latif menyuntik elemen seperti sulaman, hud atau butang leher bertali, tahun ini menambahkan keunikan rekaannya, lelaki yang sudah 20 tahun terlibat dalam bidang tersebut memperkenalkan koleksi baju Melayu denim.

NORHAYATI menunjukkan lengan baju yang boleh dibutang untuk memudahkan pemakainya menyinsing lengan baju Melayu.


“Pada tahun ini koleksi kami memperkenalkan rekaan baru iaitu baju Melayu dengan fabrik denim. Fabrik denim digunakan pada seluar untuk memberikan kelainan penampilan, selain turut digunakan sebagai kemasan pada lengan dan leher baju.
“Terdapat dua pilihan warna iaitu biru dan kelabu. Untuk memberikan nilai eksklusif, baju Melayu denim ini dihasilkan dalam jumlah yang terhad,” kata isteri Abd. Latif, Norhayati Muhamad, 42, sambil menunjukkan terdapat butang pada bahagian siku baju untuk melengkap gaya moden.
Tidak ketinggalan untuk memeriahkan perniagaan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Lat’s Collection juga membuka gerai di lokasi itu.
Kosmo! yang berkesempatan berkunjung ke gerai itu rambang mata menyaksikan baju-baju Melayu yang diberi suntikan gaya moden terutama pemilihan fabrik polos terang dan fabrik motif jalur.
Selain rekaan fabrik denim, terdapat pelbagai lagi variasi pakaian tradisional menarik yang masih mengekalkan identiti klasik baju Melayu.
Jika anda ingin membuat kelainan untuk busana pada 1 Syawal tahun ini bolehlah mengunjungi gerai tersebut di Jalan Masjid India yang menjual baju Melayu pada harga bermula dari RM80 hingga RM350 selain pelbagai aksesori lain.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2ZqJR5gjp 
Hakcipta terpelihara 

No comments: