Jumaat, Julai 19, 2013

Ternak Jamnapari sebagai percubaan

Memberi makan kepada ternakan menjadi rutin kepada Mohd. Sakdan Kamsah meskipun sibuk dengan urusan lain.

SAYA berminat untuk menternak kambing sejak dari kecil lagi. Selain boleh memberi sumber pendapatan tambahan, ia juga merupakan satu pekerjaan mengikut sunnah nabi," kata bekas Pengurus Agensi Iklan, Mohd Sakdan Kamsah.

Oleh kerana minat yang mendalam, dia sanggup membelanjakan wang sendiri untuk menternak pelbagai jenis kambing yang menjadi sumber pendapatan keduanya.

Mohd. Sakdan berkata, kesungguhan itu dibuktikan dengan kesanggupannya membelanjakan kira-kira RM25,000 untuk menyediakan kelengkapan khusus untuk keperluan menternak kambing.

''Nasib saya agak baik apabila pada mulanya ada penternak ingin menjual sebuah kandang dengan harga RM15,000 yang mempunyai 35 ekor kambing.

''Selepas tiga bulan kambing itu membiak dan mendapat lagi 11 ekor dan kini jumlah kambing yang diternak telah mencecah 60 ekor.

''Dari situ bermulalah aktiviti penternakan kambing yang telah dijalankan lebih setahun yang lalu. Saya yakin permintaan kambing akan meningkat tinggi terutamanya semasa musim Hari Raya Korban atau perayaan Deepavali," katanya kepada Utusan Malaysia yang mengusahakan ternakan tersebut di Kampung Taliair, Morib, Selangor.

Dia mengusahakan projek tersebut bersama seorang lagi rakannya yang menjaga sepenuh masa ternakan tersebut.

''Alhamdulillah hasil dari penat lelah itu, pada mulanya dengan campuran 25 ekor kambing biasa dan Jamnapari, kini kambing tersebut telah membiak menjadi 60 ekor yang diusahakan secara fidlot.

''Sebilangan kambing berkenaan boleh dijadikan baka yang kalau dijual boleh mencecah sehingga RM10,000 seekor," katanya.

Menurut Mohd Sakhdan, dia menternak kambing Jamnapari kerana kandungan daging haiwan tersebut kurang lemak dan digemari orang ramai.

Beliau berkata, mengusahakan ternakan kambing perlu mempunyai minat dan kesungguhan serta sentiasa turun padang untuk memastikan kambing yang diternak tidak berpenyakit dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Menurutnya, pengalaman itu boleh diperoleh dengan mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta selalu bertanyakan kepada penternak yang lebih berpengalaman.

Mohd Sakdan berkata, berdasarkan pengalamannya dalam menternak kambing Jamnapari, baka berkenaan amat suka kepada rumput napier kerana mengandungi cukup protein dan air.

Daun kangkung juga boleh diberi makan kepada kambing-kambing berkenaan.

''Setiap hujung minggu saya menggunakan kesempatan ini untuk menyabit rumput napier yang banyak terdapat di tepi-tepi jalan menghala ke Banting.

Kalau saya dapat menyabit rumput dan penuh satu van ia boleh menyediakan keperluan makanan sehingga lebih seminggu," katanya.

Dia juga memberi petua bagaimana untuk mendapatkan daging kambing yang pejal dan berkualiti iaitu dengan memberi air gula merah kepada ternakan.

Di samping itu kambing boer juga dikahwinkan dengan jenis jamnapari untuk mendapatkan baka yang baik.

Mohd. Sakdan berkata, sungguhpun rumput napier mudah terdapat di tepi-tepi jalan raya, tetapi ia perlu diproses terlebih dahulu supaya tidak mendatangkan masalah kepada ternakan tersebut.

Selain rumput napier, daun kelapa sawit dan pelet turut dijadikan makanan kepada kambing-kambing tersebut.

''Apa yang menjadi masalah kepada saya pada masa kini, rumput napier berkenaan kini dihancurkan dengan memotongnya secara manual.

"Bagaimanapun jika jumlah kambing semakin bertambah saya memerlukan mesin untuk memotong rumput-rumput berkenaan.

''Sebelum ini saya ada merayu kepada Menteri Pertanian dan Asas Tani membantu menyediakan mesin penghancur rumput napier berkenaan yang dianggarkan melebihi RM3,000 tetapi sehingga kini belum ada sebarang jawapan," katanya.

Ketika ditanya mengenai masa depan ternakan kambingnya, Mohd. Sakdan berkata, dia mahu menjadi usahawan ternakan yang berjaya dengan menjadi pembekal daging kambing terkemuka di negara ini ini dengan memasarkannya secara besar-besaran.

Di samping itu, dia turut membela kambing saanen yang boleh menghasilkan susu untuk dijual.

''Saya juga bercadang untuk menghasilkan baka induk yang bermutu kerana ini juga mampu memberi sumber pendapatan yang baik kepada penternak.

''Untuk itu, saya bercadang untuk memohon bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk membesarkan kandang sedia ada untuk menjadi sebuah ladang ternakan," katanya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan baka kambing boleh menghubungi Mohd. Sakdan di talian 012-3125596.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130715/ag_04/Ternak-Jamnapari-sebagai-percubaan#ixzz2ZSF9UooZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...