Isnin, Julai 08, 2013

Anggur pemangkin pelancongan Perlis



BERADA di ladang anggur dan memetik sendiri buahnya bagaikan berada di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk merupakan pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Anda mahukan pengalaman mengujakan itu? 

Taman Anggur Perlis merupakan destinasi yang tepat untuk dikunjungi bersama-sama keluarga. Taman yang berlatar belakangkan banjaran Nakawan itu terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang II, iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar. 

Taman itu merupakan lawatan sambil belajar yang sesuai untuk di kunjungi bersama ahli keluarga. Dibangunkan pada tahun 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar (ha), pada mulanya dan sehingga tahun 2012 Taman Anggur Perlis telah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar. 

Pada mulanya, anggur ditanam di Pusat Pertanian Bukit Temiang sebagai plot kajian antara Jabatan Pertanian melalui Projek Pertanian Bersepadu (IADP) Negeri Perlis dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987. 

Antara jenis yang telah dikenalpasti sesuai ditanam di Perlis adalah IAC, black queen, black opal, dan new white malaga. 

Di Malaysia, Perlis merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam penanaman anggur kerana keadaan cuaca yang sesuai dengan sifat semula jadi pokok anggur iaitu memerlukan musim kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan untuk menggalakkannya berbunga dan berbuah. 

Taman Anggur Perlis mula di buka kepada pengunjung pada Julai 2011. Sehingga Disember tahun lalu telah menerima 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negara seperti kedutaan Bangladesh dan Indonesia.

Taman itu telah berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Perlis yang mana Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskannya. 

Sebaik melangkah ke taman itu, pengunjung akan diberikan penerangan oleh pegawai bertugas mengenai kaedah penanaman anggur, penjagaan, jenis-jenis anggur yang ditanam sehingga proses penuaian dilaksanakan. 

Pelbagai maklumat menarik berkenaan anggur seperti khasiat dan jenis anggur yang ditanam turut disediakan untuk rujukan pengunjung. Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peringkat pengeluaran buah anggur. Dari peringkat pembungaan, peringkat matang, hingga tempoh penuaian iaitu selepas 120 hari dari tempoh berbunga. 

Bagi mereka yang ingin mencuba menanam sendiri anggur di laman rumah sebagai landskap kediaman, boleh mendapatkan anak pokok anggur dengan harga RM15 bagi setiap pokok. Di samping itu, pengunjung juga dapat bergambar bersama-sama keluarga seolah-olah berada di negara Eropah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk ke sana. 

Taman Anggur Perlis merupakan destinasi pelancongan bersama keluarga yang menarik kerana berhampiran dengan pusat-pusat rekreasi lain seperti Taman Ular, Taman Herba dan kawasan reksreasi Bukit Ayer. 

Taman anggur berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada hari Isnin. Pengunjung dikenakan bayaran serendah RM1 bagi kanak-kanak dan RM3 bagi orang dewasa. 

Pengunjung juga boleh membeli buah anggur segar yang di jual dengan harga RM20 sekilogram. Bagi yang berminat ke Taman Anggur Perlis ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis menerusi talian 04-9770433. -utusan.com.my

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...