Khamis, Julai 04, 2013

Khasiat madu lebah kelulut



Norlezah Baharom menyedut madu kelulut dari sarang dengan mengunakan mesin penyedut di ladang di Lanchang, Pahang,

Ramai yang menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa.


Bagaimanapun, teknologi penternakan lebah kelulut yang diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya meningkatkan pengeluaran madu spesies lebah tersebut.

Kelulut merupakan antara spesies lebah yang tidak menyengat, menjadikan serangga tersebut mudah dikendalikan berbanding lebah madu biasa.

Hal demikian turut diakui pengusaha madu kelulut, Trigona Bee, Norlezah Baharom yang berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu serta propolis serangga tersebut.

Jelasnya, madu serta propolis lebah kelulut memiliki khasiat yang lebih baik berbanding lebah biasa.

"Sebelum ini saya mengusahakan ternakan lebah madu, namun setelah mendapati khasiat madu kelulut lebih baik maka saya bertukar kepada penternakan lebah jenis ini.

"Hasil daripada kerjasama, teknologi serta khidmat nasihat MARDI saya mampu memperolehi hampir dua kilogram (kg) madu daripada satu-satu koloni lebah kelulut," katanya.

Ujar Norlezah, jika menggunakan kaedah biasa adalah amat sukar untuk memperolehi madu kelulut sebanyak itu.

Norlezah mula berjinak-jinak dengan perusahaan madu kelulut hanyalah sebagai hobi. Namun setelah menerima permintaan yang tinggi dari kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan akhirnya beliau mula mengusahakan madu lebah kelulut dengan lebih serius.

Berbekalkan pengalaman menternak lebah madu juga sebagai hobi sejak tahun 1997, akhirnya pada tahun 2005 Norlezah mendaftarkan perniagaannya menerusi bantuan serta khidmat nasihat MARDI.

Kini, permintaan madu lebah kelulut yang diternak olehnya mampu mencecah 100 botol sebulan menjadikan Norlezah tidak 'menang tangan'.

Bercerita mengenai lebah kelulut, katanya menerusi maklumat yang diperoleh daripada MARDI, sehingga kini hampir 33 spesies serangga tersebut telah dikenal pasti terdapat di Malaysia.

Lebah kelulut merupakan agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, sub-tropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.

Menurut kajian yang dijalankan di seluruh dunia, terdapat hampir 150 spesies lebah kelulut antaranya Trigona scaptotrigona, Trigona laeviceps, Trigona apicalis, Trigona thorasica, Trigona itama dan pelbagai lagi.

Antara negara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut adalah Indonesia (37 spesies), Thailand (20 spesis), Myanmar (9 spesies), Vietnam (8 spesies), India (3 spesies), Taiwan (1 spesies) dan di Malaysia.

Lebah kelulut memiliki koloni yang besar dengan organisasi sosial yang sangat kompleks berbanding dengan lebah madu.

Senibina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu di mana ada sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.

Sikap tersebut menunjukkan bahawa lebah kelulut memiliki perilaku yang kompleks menjadikan serangga tersebut sukar untuk diternak.

Malah, artikel ilmiah mahupun kajian mengenai lebah kelulut jarang ditemui kerana masih ramai yang tidak berminat untuk mengkajinya.

Kajian MARDI juga menunjukkan madu lebah kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk manusia.

Asid p-coumaric sebagai contoh mengandungi bahan antioksidan yang tertinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamin (karsinogen) diikuti asid protokatechuik dan asid vanilik.

Manakala asid fenilpropionik, sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar.

Bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati juga mengurangkan trigliserida dalam darah.

Jelas Norlezah, kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaan terhadapnya meningkat naik.

"Jika di peringkat awal masyarakat masih kurang tertarik kerana produk ini juga kurang di pasaran.

"Kini, permintaan madu kelulut diterima dari seluruh negara malah tidak ketinggalan pengguna dari luar negara seperti Timur Tengah," katanya.

Selain menghasilkan madu, lebah kelulut juga turut digunakan untuk meningkatkan hasil produk pertanian berasaskan buah kerana lebah kelulut merupakan agen pendebungaan utama kepada tumbuh-tumbuhan.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130701/ag_03/Khasiat-madu-lebah-kelulut#ixzz2Y34f1Xri
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Peluang bisnes yang tidak harus dilepaskan

STG..?? APA ITU STG..???  😍 😍 Kami team Smart Tycoon Group (STG). Team terbesar yg bernaung di bawah salah satu syarikat yg pa...