Saturday, September 14, 2013

Kaedah baru keluarkan sarang burung walet

ANTARA rumah walet di salah sebuah pulau di sekitar Sandakan, Sabah. 

Gua Gomantong, Sabah merupakan antara pusat pengeluaran sarang burung walet terbesar negara sejak dari dahulu lagi.

Aktiviti memungut sarang burung walet diperturunkan generasi demi generasi. Sarang burung yang dituai daripada gua tersebut dieksport ke China untuk dijadikan makanan kesihatan yang bernilai tinggi.

Sarang burung walet begitu terkenal suatu ketika dulu kerana makanan tersebut hanya dimakan oleh maharaja China serta pembesarnya sahaja.

Pada ketika itu, masyarakat China mempercayai dengan memakan sup sarang burung mampu memanjangkan usia di samping melambatkan proses penuaan.

Ditambah dengan sarang burung walet itu sendiri sukar untuk diperoleh, produk tersebut menjadi begitu eksklusif dan harganya amat tinggi.

Menurut pengusaha sarang burung walet terbesar Sabah, Datu Mohd. Faisal Datu Bachtiyal, usaha memungut sarang burung di Gua Gomantong dikatakan telah bermula sejak tahun 1881.

"Dahulu sarang burung walet dikumpul oleh penduduk pribumi hanya sebagai pendapatan tambahan dan kadang-kala tidak dihiraukan.

"Pada waktu itu, sarang burung walet hanya menjadi santapan golongan bangsawan di China dan permintaannya sedikit. Namun setelah makanan tersebut dikenali ramai permintaan terhadapnya semakin tinggi," katanya ketika ditemui di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Jelas Datu Faisal, sejak turun temurun keluarganya mengusahakan sarang burung walet gua sebagai pendapatan utama.

"Sarang burung walet gua amat terkenal dan harganya juga tinggi. Namun sejak kerajaan negeri mewartakan undang-undang baharu iaitu untuk mengeluarkan hasil sarang burung walet di gua tersebut perlu melalui proses tender dan peraturan yang ketat, ramai di kalangan pemungut sarang burung tradisional meninggalkan pekerjaan tersebut," katanya.

Peraturan baharu memerlukan setiap pemungut membida tender serta membayar premium yang tinggi kepada kerajaan negeri.

Bertitik tolak daripada itu, pengusaha sarang burung walet yang telah lama berkecimpung dalam perusahaan tersebut bertukar daripada pemungut sarang burung walet di dalam gua kepada pengusaha rumah burung walet

Bagaimanapun, mengusahakan rumah burung walet bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Tanpa teknik yang betul, pelaburan yang dilakukan hanya sia-sia.

Faisal yang memiliki syarikat mengeksport sarang burung walet utama di Sabah iaitu Gerak Borneo Sdn. Bhd. berkata, kebiasaannya rumah burung walet dibina daripada konkrit.

"Rekaan rumah burung walet di Sabah pada asalnya adalah serupa seperti mana yang boleh kita lihat di Semenanjung.

"Oleh kerana binaan rumah burung diperbuat daripada konkrit kos tinggi, rekaan rumah tersebut kurang menarik minat burung walet untuk masuk dan membuat sarang," katanya.

Masalah yang sama turut dihadapi pengusaha yang membina sarang burung walet di atas bangunan apabila burung mengambil masa yang lama untuk mendiami rumah tersebut.

Datu Faisal yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Industri Sarang Burung Walit Sabah (SABA) menyatakan kajian telah dilakukan oleh pihaknya dan mendapati burung walet lebih selesa dan tertarik dengan rumah burung yang dibina daripada kayu.

Selain lebih selesa untuk didiami oleh burung walet, kos pembinaan rumah menggunakan bahan daripada kayu dan papan tersebut mampu mengurangkan kos pembinaan.

Bagi sebuah rumah burung walet yang diperbuat daripada kayu hanya RM30,000 berbanding rumah burung yang diperbuat daripada konkrit yang mencecah ratusan ribu.

"Berdasarkan pengalaman, burung walet lebih gemarkan rumah yang memiliki ruang yang lebih luas dan panjang kerana memudahkannya terbang berlegar-legar sebelum hinggap pada sarang.

"Oleh yang demikian, kami cuba bina sebuah rumah kayu dengan ukuran yang agak luas berbanding rumah konkrit. Rumah tersebut berjaya menarik perhatian burung walet sekali gus bersarang dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja," katanya.

Kejayaan rumah burung walet yang dibina daripada kayu itu turut diakui oleh pengusaha sarang burung walet, Sarimin Senin yang kini memiliki beberapa buah rumah burung.

Ujarnya, pada peringkat awal dia tidak pernah mengambil peduli akan perusahaan burung walet kerana merasakan kos untuk mengusahakannya amat mahal.

"Jika peringkat awalnya memang saya tidak tahu langsung tentang perusahaan ini (sarang burung walet), namun setelah bertemu dengan Datu Faisal saya berani kan diri untuk menceburinya.

"Datu Faizal telah banyak membantu dan menyedarkan saya tentang potensi sarang burung walet untuk diketengahkan sebagai sumber pendapatan tambahan," katanya.

Sebelum ini Sarimin hanya mengusahakan tanaman tembikai dan juga penternakan lembu. Kini pendapatannya bertambah dengan kewujudan rumah burung tersebut.

Bagi bekas guru, Baung Titing dari kampung Bakung-Bakung di daerah Beluran pula, pelaburan yang dilakukan telah membuahkan hasil.

Biarpun di peringkat awal pembabitannya untuk melabur dalam perusahaan burung walet menerima kecaman yang hebat daripada sahabat handai serta keluarga sekitar kampung, dia tidak mengendahkannya dan tetap dengan keputusannya.

"Pada peringkat awal orang kampung telah menasihatkan saya agar berfikir panjang untuk melaburkan sejumlah wang bagi perusahaan burung walet kerana agak sukar selain mahal.

"Lagi pula pada waktu itu saya tidak tahu apa-apa tentang perusahaan burung walet. Malah sarang burung itu juga saya tidak pernah pegang dan lihat apatah lagi memakannya," ujarnya.

Namun, kerana mempercayai kepakaran yang dimiliki oleh Gerak Borneo Sdn. Bhd. yang telah lama berkecimpung di dalam dunia perusahaan burung walet Baung tetap meneruskan hasratnya.

Kini, setelah hampir setahun mengusahakan sarang burung walet, Baung mampu tersenyum lebar dengan hasil yang diperolehi.

"Hasil daripada penjualan sarang burung ini bukanlah banyak kerana masih di peringkat awal, namun penggunaan rumah kayu telah mempercepatkan burung untuk masuk dan membina sarang berbanding struktur binaan rumah lain," katanya.

No comments: