Sunday, September 29, 2013

Budak nakal jadi tauke otak-otak


USAHAWAN muda ini memperoleh bekalan bahan mentah dari pembekal otak-otak di Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang cukup istimewa selain menepati cita rasa pelanggan.


PERTEMUAN dengan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan otak-otak di Asia Cafe yang terletak di SS15, Subang Jaya, Selangor membuatkan kru Jurnal berasa kagum apabila melihat dia berjaya pada usia muda.
Jika rakan-rakanya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian sebelum berfikir mengenai pekerjaan, Muhammad Fikri Mohd. Yunus, 22, mempunyai pandangan yang berbeza.
Dia sanggup melakukan dua perkara secara serentak iaitu berniaga dan belajar pada masa yang sama.
“Walaupun berasal dari keluarga berada, saya lebih selesa berdikari kerana berniaga merupakan pilihan saya.
“Sebenarnya, saya seorang yang agak nakal dahulu. Tetapi, saya bertekad untuk berubah kerana tidak mahu terus dilabel nakal oleh masyarakat.
“Sejak itu, saya mula berjinak-jinak di dalam bidang perniagaan.
“Seawal usia 17 tahun, saya sudah memulakan perniagaan sendiri iaitu menjual shisha,” jelasnya yang mempunyai tiga orang adik-beradik.
Muhammad Fikri yang menubuhkan syarikat Kcik Resources pada tahun 2009 memberitahu, idea untuk menjalankan perniagaan itu diperoleh ketika membantu seorang rakannya berniaga otak-otak di Petaling Jaya.
Justeru, pemuda itu melihat potensi perniagaan otak-otak yang boleh menjamin masa depannya jika dia mempunyai kesungguhan yang tinggi ditambah lagi dengan modalnya yang kecil.
“Menjalankan perniagaan menjual shisha menyasarkan pelanggan dalam kalangan remaja.
“Namun, berbeza pula dengan perniagaan otak-otak kerana sasaran pelanggannya adalah lebih meluas.
“Sebenarnya, saya memang tercari-cari cabang perniagaan yang melibatkan semua peringkat umur. Apabila bercakap mengenai otak-otak, boleh dikatakan semua peringkat umur tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa pun menyukainya,” ujar pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Pengurusan Sains di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengorbanan
Usahanya untuk mendapatkan tapak gerai yang didominasi oleh peniaga-peniaga Cina di Asia Cafe itu sebenarnya mengagumkan apatah lagi dia menjadi peniaga Bumiputera pertama yang menjalankan perniagaan di situ.
“Hampir empat bulan saya cuba meyakinkan pihak pengurusan kafe itu.
“Rezeki akhirnya berpihak kepada saya apabila pemilik kafe tersebut membenarkan saya berniaga.
“Saya diberi masa untuk memulakan perniagaan dalam tempoh seminggu.
“Alhamdulillah, saya berjaya membuka gerai otak-otak ini pada hari kelima,” katanya yang menggunakan slogan Mr. Small's Otak-Otak, The Best Taste In Town.
Katanya, pengorbanan besar diperlukan apabila memilih untuk belajar sambil bekerja kerana dia perlu bijak untuk membahagikan masa.
“Saya terpaksa berkorban kerana berniaga sudah menjadi pilihan saya. Kereta menjadi rumah kedua saya ketika saya mula menjalankan perniagaan ini.
“Ada ketikanya, saya tidak tidur kerana perlu menghadiri kuliah selepas menjalankan perniagaan yang memulakan operasi sekitar pukul 5 dan berakhir pada pukul 5 pagi ini,” jelasnya yang pernah bekerja sebagai penarik kereta.
MUHAMMAD Fikri turut menjual pulut panggang dan satar pedas.


Usahawan muda itu mula menjalankan perniagaan berbekalkan modal permulaan yang diperoleh sebagai penarik kereta sebanyak RM1,000.
“Alhamdulillah, pendapatan bulanan saya kini mencecah lima angka dengan pembukaan 26 cawangan di sekitar Lembah Klang.
“Saya memperoleh bahan mentah daripada pembekal otak-otak dari Kampung Parit Kuda di Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang cukup istimewa selain menepati cita rasa pelanggan.
“Sebenarnya, warna asal otak-otak itu berwarna putih.
“Namun, penggunaan pewarna merah ketika otak-otak pertama kali diperkenalkan menyebabkan masyarakat sudah biasa dengan warna itu,” tambahnya sambil memberitahu, dia kini mampu menjual sebanyak 15,000 keping otak-otak sehari.
Promosi
Memilih perniagaan otak-otak sebagai sumber pendapatan, kesungguhan dan kerajinan amat diperlukan untuk mempromosikan produknya itu.
“Para-peniaga otak-otak mencari pelanggan dengan meletakkan makanan ini dari meja ke meja makan,” katanya.
Dia juga bercerita tentang ketahanan makanan itu.
“Otak-otak boleh bertahan selama lapan bulan sekiranya berada di dalam peti sejuk.
“Ia juga masih baik selepas 16 jam dikeluarkan (dari peti sejuk dan belum dibakar).
“Otak-otak yang sudah siap dibakar boleh bertahan selama dua hari,” katanya yang mempunyai seramai 34 orang kakitangan di semua cawangannya.
Bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan yang dimilikinya, Muhammad Fikri merancang untuk mengeksport produknya itu ke luar negara seperti Indonesia dan Thailand.
Malah, dia juga meletakkan sasaran untuk membuka 50 buah lagi cawangan sebagai perancangan untuk masa depannya.
“Saya juga bercadang mahu membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen dengan modal serendah RM1,000.
Syarikatnya juga ada menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis-majlis seperti parti hari jadi dan rumah terbuka dengan tempahan minimum sebanyak 300 keping ke atas.
Selain otak-otak, syarikatnya turut menjual pulut panggang resipi Kelantan dan satar pedas dari Terengganu.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2gIChJhqn 
Hakcipta terpelihara 

No comments: