Monday, September 23, 2013

Teh terpilih keluaran Mardi

WAN Abdullah wan Yusoff mahu memberi imej baharu kepada Stesen Agroteknologi MARDI Cameron Highlands dengan mempromosikan minuman teh.
BENIH asalnya dikatakan dibawa dari India semasa pemerintahan penjajah Inggeris (British) di Tanah Melayu.

"Ketika itu Cameron Highlands dipilih kerana iklimnya yang sejuk serta nyaman. Justeru, penanaman teh dimulakan di sini," ujar Pengurus Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands, Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff.

Cameron Highlands atau Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Malaysia.

Terletak di barat daya Pahang, tanah tinggi tersebut boleh di jejaki melalui simpang laluan dari Tapah, atau menerusi laluan dari Simpang Pulai, Ipoh, Perak.

Kedudukannya setinggi 1,829 meter (m) dari aras laut dan suhu antara 10 hingga 20 darjah Celsius menjanjikan suatu pemandangan flora yang indah.
Cameron Highlands mendapat namanya setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron menemui kawasan tersebut pada tahun 1885 ketika sedang membuat tinjauan pemetaan.

Namun, apa yang lebih menarik di atas kawasan tanah tinggi itu adalah kehijauan hamparan ladang teh yang terkenal di seluruh negara.
Sejarah penanaman teh bermula daripada sebuah stesen penyelidikan yang dikenali FES (Federal Experimental Station) yang ditubuhkan oleh Inggeris seluas 50 ekar.

Jelas Dr. Wan Abdullah, ladang teh serta kawasan penyelidikan tersebut telah diperluaskan kepada 100 ekar dan telah diambil alih oleh Jabatan Pertanian pada tahun 1969 sebelum diserahkan kepada MARDI pada tahun 1971. Kini ia lebih dikenali sebagai Taman Agroteknologi MARDI yang terletak di Tanah Rata.

Bermula tahun tersebut, stesen berkenaan telah digunakan sepenuhnya oleh penyelidik MARDI untuk mengkaji variasi buah-buahan serta pelbagai spesies bunga-bungaan untuk tujuan komersial.

Teh merupakan antara satu tanaman penting dalam kajian di stesen tersebut sehingga sebuah kilang pemprosesan serbuk teh yang mula beroperasi pada tahun 1935 masih dikekalkan sebagai bahan sejarah.

Bahkan, kilang tersebut telah dibaik pulih pada tahun 2011 dengan dana sebanyak RM1.5 juta oleh kerajaan sebagai tarikan pelancongan di stesen tersebut.

Menurut Dr. Wan Abdullah, kilang teh di stesen itu masih beroperasi namun jumlah teh yang dikeluarkan agak terhad kerana tujuan asal membaik pulih kilang tersebut adalah sebagai tarikan pelancongan.

"Bagaimanapun untuk tidak menghampakan peminat teh, MARDI tetap mengeluarkan teh tersendiri iaitu teh Nutrima," katanya.

Ketika ditanya sama ada teh MARDI tersebut memiliki keistimewaannya tersendiri, Dr. Wan Abdullah menyatakan teh Nutrima dihasilkan daripada daun teh muda yang terpilih menjadikan teh tersebut diminati ramai namun terhad dalam kuantiti tertentu.

Sehingga kini teh Nutrima dijadikan hadiah bagi pengunjung istimewa yang hadir ke stesen tersebut.

Bagaimana pun, bagi peminat teh, mereka boleh mendapatkannya di kiosk stesen tersebut.

Ladang teh yang terdapat di stesen tersebut mampu menghasilkan hampir 500 kilogram (kg) daun teh untuk sekali tuai dan hanya 25 peratus serbuk teh dapat dihasilkan daripada berat keseluruhannya.

Terdapat dua jenis teh yang ditanam di stesen tersebut iaitu Camellia sinensis (China) berdaun kecil dan Camellia assamica (India) berdaun besar.
Ujar Dr. Wan Abdullah lagi, empat jenis teh boleh dihasilkan menerusi daun teh yang dipetik dari pokok yang sama.

Antaranya adalah teh putih, teh hijau, teh hitam dan juga teh Oolong yang terkenal di kalangan penggemar teh berbangsa Cina.

Penghasilan teh tersebut adalah bergantung kepada cara pemprosesan. contohnya teh putih atau white tea merupakan daun teh yang baharu dipetik setelah layu terus dijadikan teh.

Teh hitam pula merupakan teh yang telah mengalami proses fermentasi lengkap.

Terdapat 48 jenis teh daripada dua genus dan sesetengahnya dicampur bagi menghasilkan teh yang lebih baik.

Di Cameron Highlands antara teh yang sering menjadi tumpuan pelancong adalah teh berperisa seperti strawberi, oren dan juga anggur.

Industri teh di tanah tinggi tersebut kini telah di kembangkan oleh pihak swasta seperti The Bharat Group, Boh dan sebagainya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130916/ag_01/Teh-terpilih-keluaran-Mardi#ixzz2fgZhXGnj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: