Monday, October 07, 2013

Ayam kampung organik



WALAUPUN keputusan tersebut memberikan impak besar terhadap dirinya, dorongan dan semangat daripada keluarga membuatkan dia nekad berkecimpung dalam projek penternakan ayam kampung.

"Asalnya, menceburi bidang penternakan ini sekadar hobi, lama-kelamaan melihat kepada permintaan ayam yang meningkat secara mendadak terutama menjelang musim perayaan, saya bersama dua rakan kongsi memutuskan untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung," katanya.

Lebih mengujakan, ladang ternakan yang mempunyai keluasan lima hektar (ha) dan mampu menampung sebanyak 12,000 ekor ayam agak berlainan berbanding projek lain kerana diusahakan tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.

Bermula hari pertama anak ayam menetas, ia akan ditempatkan di sebuah reban selama 14 hari sebelum dilepaskan dalam kawasan ladang.
Ayam itu dibiarkan mencari makanan sendiri walaupun pihaknya memberi makanan empat kali sehari.

Secara umumnya, ayam kampung ini dipelihara secara lepas bagi membolehkannya bergerak bebas dan bukan dikurung di sangkar yang sempit.
Tambahan pula, ayam merupakan haiwan omnivor yang memakan daging dan tumbuhan.

Ayam memakan apa sahaja, daripada bijian ke daunan dan serangga. Namun ayam ternakan biasanya diberi makanan khas seperti bijirin dan sumber protein.

"Pada kebiasaannya, kami akan memberi makanan rumput jenis azola dan kiambang itik, sekali gus tidak memerlukan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk membesar. Pengguna boleh makan ayam ini tanpa rasa was-was," jelasnya.

Ishamuddin ditemui semasa menerima kunjungan wartawan MEGA diladangnya di Bentong, Pahang baru-baru in. Yang turut hadir ialah rakan kongsinya, Mohd Khairul Redza Kamaruzaman.

Kaedah penternakan yang diperkenalkan Ishamuddin menjelaskan ayam akan dibiarkan secara bebas di kawasan ladang yang luas bagi memastikan ayam bebas berkeliaran.

Di samping itu, tumbuhan liar dibiarkan tumbuh dan hidup secara semula jadi bagi membolehkan ayam kampung organik ini mendapat makanan organik di mana-mana sahaja kawasan persekitaran ladang.

Sumber seperti protein, karbohidrat, dan mineral yang diperlukan oleh ayam-ayam tersebut boleh didapati secara semula jadi di kawasan ternakan yang luas.

Dalam pada itu, ayam kampung organik ini hanya dijual selepas berusia 100 hari iaitu setelah mencapai tahap matang dan berat sekitar 1.3 hingga 1.4 kilogram seekor.

Malah, bagi memastikan pembesaran ayam kampung organik ini mencapai tahap maksimum, pihaknya menghasilkan antibiotik secara semula jadi melalui penggunaan tumbuhan herba yang ditanam sendiri.

Hakikatnya, Ishamuddin tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan suntikan seperti yang biasa dilakukan ke atas ayam daging kerana kosnya tidak terlalu tinggi.

Campuran herba hempedu bumi, daun patawali, daun betik, kunyit dan halia digunakan sebagai antibodi untuk melawan penyakit.

Ia bertujuan memastikan ayam tersebut melalui proses pembesaran secara semula jadi.

Katanya, makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah yang betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit.

Oleh itu, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar.

Penternakan secara semula jadi itu membolehkan ayam-ayam berkenaan membekalkan nutrisi yang tinggi kepada pengguna.

Dalam pada itu, Ishamuddin juga menyifatkan ayam kampung organik asli kerana ia diternak di kawasan hijau selain air yang dibekalkan tidak tercemar.
Air untuk penternakan ayam daging diletakkan dalam kuantiti yang banyak di dalam satu reban.

Ishamuddin mendakwa, cara tersebut menjadikan ayam daging hidup dalam persekitaran yang kotor dan kekurangan zat makanan.

Menurutnya lagi, kaedah penternakan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang penternakan dari dalam dan luar negara selain mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Tambahan pula, ladangnya turut mengunakan penggunaan mikroorganisme efektif (EM) untuk memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.

Menyentuh mengenai rasa daging ayam, katanya , ayam kampung organik mempunyai rasa yang berbeza berbanding ayam di pasaran kerana ia lebih lembut, pejal dan tulang-tulangnya juga lembut.

"Rasanya yang lebih manis dan lembut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya pelanggan berbangsa Cina," katanya.

Ishamuddin turut memberitahu, perniagaan yang diusahakan ini tidak pernah mendapat bantuan kerajaan atau pinjaman daripada mana-mana bank.

"Saya menggunakan modal sendiri yang ada untuk membangunkan perniagaan menternak ayam kampung organik ini, tambahan pula amat sukar bagi mereka yang terbabit dalam bidang pertanian untuk memohon pinjaman daripada pihak bank.

Ditanya mengenai perancangannya, Ishammudin menyasarkan untuk menambah empat buah kedai menjual ayam kampung organik ini di samping mempunyai kemudahan tempat penyembelihan sendiri.

"Saya sudah pun mempunyai beberapa cawangan yang dibuka di Ampang, Damansara serta Bangi untuk membekalkan ayam kampung organik ini terus kepada pembeli.

"Dengan permintaan yang memberansangkan, saya yakin untuk membuka lebih lagi kedai-kedai membekal ayam kampung organik ini tidak menjadi masalah lagi," katanya. - MASZUREEN HADZMAN (agro@utusan.com.my)

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20131007/ag_02/Ayam-kampung-organik#ixzz2h1Z2pArH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: