Thursday, October 31, 2013

Biak tiram asuhan


TIRAM perlu disterilkan untuk mengelakkan pencemaran.

Demikian luahan pengusaha ternakan benih tiram Allan Wong, 51, yang di temui di kolam asuhan tiram di Balik Pulau,Pulau Pinang baru-baru ini.

Memiliki pengalaman 22 tahun dalam penternakan tiram, uniknya, syarikat mereka dikatakan satu-satunya yang memasarkan tiram menggunakan teknik pembenihan asuhan.

Jelasnya, ternakan tiram dilihat berpotensi untuk dikembangkan memandangkan negara seperti Australia, New Zealand dan negara Eropah mempunyai suatu industri yang besar berbanding Malaysia yang baru berada di peringkat permulaan.

"Kami melihat pembenihan tiram secara asuhan ini dapat membantu pengusaha yang berminat untuk mendapatkan benih tiram berkualiti.

"Kenapa kita tidak boleh bersaing dengan pasaran luar sedangkan kita boleh mengeluarkan hasil tiram hanya dalam masa setahun berbanding mereka empat tahun sekali.

"Lebih-lebih lagi kita mempunyai cuaca yang lebih baik untuk mendapatkan hasil tiram yang cepat dan berkualiti," katanya.

Kolam asuhan tiram yang dikendalikan oleh syarikat SeaHarvest Aquamarine Malaysia itu turut mempunyai keluasan kolam sebanyak lima ekar yang mampu mengeluarkan lima juta benih tiram setahun.

Oleh itu, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar

"Sebelum ini tiram yang hidup berkelompok perlu dikorek isinya untuk dijual secara dalam kiraan berat (isi sahaja) hanya kerana struktur cangkerang yang tidak menarik,"katanya.

Pembenihan secara asuhan berbeza dengan pembenihan semulajadi kerana tiram semulajadi hanya membiak dua kali setahun pada pertengahan dan akhir tahun.

Jelasnya, bagi mengembangkan industri ternakan tiram, proses pembenihan secara asuhan diperlukan bagi mendapatkan pembekalan benih yang lebih teratur dan kualiti yang terjamin.

Selain itu, proses kacukan benih juga perlu dilakukan bagi mendapatkan benih yang tahan lasak di samping proses tumbesaran tiram yang lebih cepat dengan kualiti yang lebih bagus.

Menurutnya lagi, kaedah pembenihan itu diperkenalkan berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang pertanian dimana pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1989 lagi.

Mengenai rasa tiram, katanya, rasa tiram Malaysia mempunyai rasa yang lebih lemak dan sedap berbeza berbanding tiram di import dari pasaran luar kerana ia lebih lembut dan nipis.

"Rasanya yang lebih lemak dan tebal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelanggan terutamanya chef daripada restoran mewah sekitar kawasan Pulau pinang," katanya.

Wong turut memberitahu, perniagaan yang diusahakan itu juga telah memperoleh status BioNexus daripada Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) sebagai syarikat bioteknologi yang berpotensi di samping mendapat bantuan mesin-mesin berteknologi tinggi.

Ditanya mengenai perancangannya, kita mula mencari syarikat yang mahu bekerjasama di dalam memperkembangkan lagi indutri tiram di Malaysia di samping mahu mencari pasaran untuk menjual hasil ini.

"Setakat ini salah satu syarikat yang akan bekerjasama dengan kami ialah Kejora dan Jcorp.

"Jcorp yang berpangkalan di Johor mempunyai keluasan kawasan sebanyak 1,000 ekar untuk projek pembenihan tiram ini," katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya juga mengharapkan kerajaan dapat memberikan lebih banyak lagi benih kepada orang kampung supaya dapat membuka peluang untuk menambah pendapatan mereka.

"Tiram hanya tidak mengunakan kos yang tinggi malah kurang risiko tetapi dapat hasilkan hasil yang lumayan.

"Ramai orang yang berminat tetapi hanya tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan benih sebab itulah kami menjadi pengeluar benih kepada mereka.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20131028/ag_01/Biak-tiram-asuhan#ixzz2jHpIwRBw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: