Sabtu, Oktober 12, 2013

Bakeri di rumah


Kreativiti kek yang dihasilkan Noor Beattey amat mengagumkan.

ORANGNYA memang berbakat. Bayangkan dia tidak pernah menghadiri sebarang kelas pembuatan kek, semuanya dipelajari sendiri daripada pemerhatian dan Internet namun hasilnya mantap, sehebat graduan akademi bakeri terkemuka. Itulah kebolehan yang ada pada Noor Beattey Buang, 33.

Dahulunya Noor Beattey merupakan seorang wanita bekerjaya yang kerjanya menuntut dirinya sering balik lewat dan menghadiri persidangan di luar negara.

Namun naluri keibuan serta minatnya melebihi segalanya lalu mendorong Noor Beattey berhenti kerja 'makan gaji' dan mengusahakan Beattey's Bakery yang beroperasi dari rumahnya yang terletak di Sungai Penchala, Kuala Lumpur sahaja.

Ditanya mengapa bidang pastri dan bakeri yang menjadi pilihan, Noor Beattey berkata, sejak usianya sembilan tahun dia sudah mula menghasilkan biskutnya sendiri dan dijual kepada kawan-kawan.

"Berbekal ilmu dan pengalaman, saya menghasilkan kek dan menjual secara kecil-kecilan kepada sanak- saudara dan kenalan. Mula-mula saya hanya jual nasi lemak di pejabat. saya begitu terharu apabila air tangan saya mendapat sambutan menggalakkan.

"Sejak itu, saya tekad mengembangkan bisnes. Walaupun ada kalanya berasa penat selepas seharian bekerja, saya kuatkan semangat bersengkang mata menyiapkan tempahan sehingga lewat malam. Saya puas apabila pelanggan berpuas hati dengan kek yang saya hasilkan," ceritanya.


KEk daripada watak-watak kartun menjadi kegemaran kanak-kanak.

Berniaga dari rumah

Sudah beroperasi dari rumah sejak tahun 2010 lagi dan kini Noor Beattey semakin hampir dengan impiannya untuk membuka premisnya sendiri. Sambutan hangat membuatkan Noor Beattey tekad untuk mewujudkan kedai keknya sendiri.

"Memang sukar untuk membuat keputusan ketika itu, suami agak keberatan kerana bisnes mempunyai risiko yang tinggi.

"Begitu juga dengan majikan yang berat hati melepaskan saya, maklumlah saya mempunyai banyak pengalaman. Ramai yang nasihatkan saya agar berfikir semasak-masaknya.

"Selepas pertimbangkan segalanya, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Selepas berhenti kerja, saya gigih mengembangkan bisnes dan promosi yang paling berkesan hanyalah menerusi Facebook," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.

Bohonglah jika seseorang yang menjalankan perniagaan tidak pernah melalui kesukaran dan cabaran. Noor Beattey juga pernah mengalami pelbagai cabaran sebelum ini.

Bagaimanapun, setiap kesusahan dan cabaran yang dialami mestilah dijadikan pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

Noor Beattey juga bertuah kerana mendapat promosi dari mulut ke mulut pelanggan yang berpuas hati dengan hasil jualannya.

Kesimpulannya, seseorang pastinya boleh berjaya dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi jika mempunyai wawasan dan objektif yang nyata, disiplin serta sikap sabar yang tinggi haruslah disemat dalam diri.

Noor Beattey kini sudah boleh berpuas hati dengan pendapatan perniagaan kek kukus dari rumah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Noor Beattey boleh dihubungi di talian 019-2776623, Facebook Noor Beattey Buang untuk tempahan kek dan biskut.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Produk/20130920/pr_02/Bakeri-di-rumah#ixzz2hUZB4QC5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...