Sabtu, Oktober 03, 2009

Mengapa usahawan gagal?

Walaupun berniaga sendiri banyak kelebihannya, ada sesetengah usahawan gagal menjalankan perniagaan mereka. Antara faktor dan sebab mengapa usahawan gagal dijelaskan sebagaimana yang berikut....
.
Gagal merancang dengan baik ataupun tidak tahu merancang. Mereka yang gagal merancang, sebenarnya merancang supaya gagal. Walaupun rancangan mungkin dibuat, ia tidak spesifik dan sekadar, "Saya mahu untung tahun ini!" Berapa sasaran untungnya dan bagaimana merealisasikannya, tidak ditetapkan. Akhirnya, impian jadi seperti angan-angan Mat Jenin.
.
Gagal mengurus aliran tunai. Tiada catatan dan rekod transaksi yang membolehkan aliran wang keluar dan masuk diketahui dengan tepat dan dipantau. Sesetengah usahawan berpendapat, wang masuk adalah keuntungan dan sebagai pemilik perniagaan, mereka berhak membelanjakan wang bagi apa saja tujuan, termasuk perkara yang tidak menguntungkan perniagaan.
.
Suka bertangguh. Sikap ini pada awalnya mungkin tidak memberikan masalah besar, tetapi apabila dibiarkan, ia mem-beri kesan pada pengurusan perniagaan. Dokumen jadi bertimbun kerana lewat diproses, masa terbuang dengan mencari maklumat dan akhirnya keputusan yang dibuat adalah tidak tepat serta merugikan perniagaan.
.
Mengambil mudah aspek persaingan. Usahawan mengambil pendirian, 'rezeki secupak tidak akan jadi segantang'. Mereka juga terlalu yakin dengan kelebihan diri kerana sudah lama bertapak dan dikenali ramai, tidak berusaha supaya terus berdaya saing serta tiada usaha mempembaharui dan mengunikkan produk dan perkhidmatan.
.
Strategi pemasaran yang tidak berkesan. Strategi pemasaran yang digunakan tidak berkesan bagi menarik pelanggan. Malah, ianya tidak berjaya mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Pelanggan lebih tertarik dengan pesaing yang Strategi pemasarannya jauh lebih berkesan.
.
Khidmat pelanggan yang tidak cekap. Usahawan hanya memikirkan bagaimana mendapatkan pelanggan tetapi tidak memikirkan cara mengekalkan pelanggan. Hakikatnya, mengekalkan pelanggan adalah lebih sukar daripada mendapatkan pelanggan.
.
Pekerja tidak cekap dan tidak amanah. Pekerja diambil tidak berdasarkan kemahiran dan sikap yang betul. Usahawan tidak membuat pelaburan bagi melatih pekerja dan tidak meluangkan masa yang cukup bagi menyelia pekerja.
.
Kemahiran terhad. Usahawan mahir dalam satu bidang sahaja. Sebagai contoh, usahawan produk kraf tangan perlu juga ada pengetahuan dalam aspek komunikasi, pemasaran, komputer, perhubungan awam dan sebagainya.
.
Lokasi perniagaan tidak sesuai. Kedai sukar disinggahi ataupun pelanggan sukar pergi ke kedai itu. Misalnya, kedai berada di tengah-tengah persimpangan lampu isyarat ataupun terlindung, menggagalkan perniagaan walaupun barangannya bermutu dan banyak pilihan. Pelanggan juga mungkin tidak terperasan apabila kedai pakaian misalnya, terletak di tingkat atas bangunan.
.
Tidak berfikiran jauh. Usahawan tidak berfikiran global dan futuristik atau ke hadapan. Mereka tidak tahu ataupun tidak ambil tahu perkembangan semasa pelbagai aspek perniagaan. Barangan yang dijual ataupun perkhidmatan yang diberikan mungkin terkebelakang daripada segi ciri-cirinya dan mempunyai permintaan yang berkurangan. Usahawan perlu menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa dan ia boleh dilakukan dengan menghadiri kursus- serta seminar keusahawanan, mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan serta mereka yang pakar dan juga membaca majalah-majalah serta laman web berkaitan usahawan.
.
Kurang pengalaman. Usahawan menjalankan perniagaan dalam bidang yang mereka tidak mahir ataupun tidak minat. Usahawan yang bermula daripada bawah, biasanya lebih ber-jaya dan kekal lama kerana mereka berpengalaman dalam perniagaan yang dijalankan. Mereka tidak mudah ditipu oleh pelanggan dan pekerja. Mereka juga tidak mudah dikalahkan oleh pesaing.
.
Kurang modal kewangan. Perniagaan yang dimulakan tanpa modal yang mencukupi, mungkin menyukarkan usahawan berkembang, mengecewakan pelanggan dan akhirnya menggagalkan perniagaan. Walau bagaimanapun, modal yang sedikit apabila diurus dengan baik, tidak mustahil rezeki secupak menjadi segantang.
.
Tiada sistem mengurus akaun yang efisien. Hal ini menyebabkan usahawan tidak tahu kekuatan sebenar perniagaan dan mengesan kelemahan perniagaan pada peringkat awal. Masih ramai usahawan bumiputera tidak mementingkan aspek mengurus akaun dalam perniagaan mereka. Antara sebabnya adalah, mereka gagal memahami bagaimana sistem mengurus akaun yang mantap dapat membantu mereka mengaut untung dan mengelak rugi.
.
Terlalu tamak berkembang. Usahawan tidak 'mengukur baju di badan sendiri'. Cawangan yang dibuka tidak kena pada masanya dan tanpa kemampuan kewangan yang mencukupi, menyebabkan usahawan gagal.
.
Tiada penyambung kejayaan. Ada perniagaan gagal bertahan lama kerana individu yang bertanggungjawab membangunkan perniagaan, jatuh sakit ataupun meninggal dunia. Malangnya, tiada siapa yang berkebolehan dan terlatih, dapat mengambil alih perniagaannya. Ada perniagaan yang berjaya pada zaman 'pentadbiran' si ayah, tetapi menjadi kucar kacir apabila tampuk 'pemerintahan' diambil alih oleh si anak.
.
Sikap negatif usahawan. Perniagaan boleh gagal disebabkan oleh sifat negatif yang dimiliki oleh usahawan seperti hasad dengki, boros, tamak, pemarah, berprasangka, terlalu berahsia dan individualistik.

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...