Monday, October 05, 2009

Penanam roselle intai kejayaan

Oleh LAUPA JUNUS
.
MUNGKIN terlalu awal untuk menjangka keputusannya untuk menceburkan diri dalam pertanian, khususnya penanaman roselle menjanjikan kejayaan.
.
Namun bagi anak muda berasal dari Kuala Perlis ini, sejumlah 2, 000 pokok roselle yang ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar bagaikan menjanjikan harapan baru kepadanya.
.
Abdul Kadir Abdul Halim, 38, menerusi syarikatnya Impian Serasi mahu membuktikan bahawa tapak penanaman roselle di Kundang, Serendah, Selangor itu bakal sebagai titik tolak kepada usahanya mencebur bidang pertanian.
.
Menurut Abdul Kadir, Jabatan Pertanian pada mulanya memberikan dia pilihan sama ada mahu menanam roselle, bunga kantan, limau nipis atau ulam tetapi roselle dipilih.
.
Berbekalkan modal sebanyak RM30,000 dan tanah yang disewa itu, menuntut beliau memerah keringat dan memaksa tulang empat keratnya dikerah bagi membuktikan minatnya boleh membawa keuntungan berbaloi.
.
Abdul Kadir memilih kawasan tersebut kerana ia sesuai dengan tanaman roselle yang memerlukan tanah berpasir.
.
''Saya menjangka lapan tan buah roselle dapat dihasilkan daripada 2,000 pokok yang ditanam ini," katanya semasa ditemui di ladangnya yang baru berusia setahun jagung itu.
.
Beliau menganggarkan satu pokok mampu menghasilkan empat kilogram (kg) buah roselle yang boleh dipetik selepas tiga bulan ditanam.
.
Empat pekerja membantunya melakukan kerja-kerja termasuk menyiram dan memetik hasil.
.
''Bagi roselle, air amat penting," ujarnya sambil menambah kawasan di tepi tasik itu banyak membantunya.
.
Pokok roselle, katanya, mampu mengeluarkan hasil tanpa putus selama enam bulan selepas ditanam dan rosak selepas dua tahun.
.
Ketika ini, beliau mampu mengeluarkan 100 kilogram buah roselle yang dijual kepada Sabdariffa Enterprise, salah sebuah syarikat yang mengeluarkan banyak produk roselle.
.
Syarikat terbabit membeli antara 50 dan 100 kg buah telah diproses atau dibuang biji pada harga RM3.50.
.
Dengan sokongan kerajaan, Abdul Kadir bernasib baik kerana tanaman roselle disenaraikan dalam Kumpulan Produk baru dan Industri Masa Hadapan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3). -Utusan online

No comments: