Jumaat, Oktober 09, 2009

Rezeki ketam nipah

Oleh AHMAD SHAARI
rencana@kosmo.com.my
.
SELAIN dikenali sebagai tempat persinggahan burung-burung laut, Kuala Gula dekat Kuala Kurau, Perak sebenarnya kaya dengan sejenis hidupan laut iaitu ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla Serrata.
.
Dikenali sebagai ketam nyior oleh nelayan-nelayan pantai di negeri-negeri utara, ia merupakan sumber rezeki kepada kira-kira 40 nelayan pantai di sini sejak puluhan tahun dahulu.
.
Kegiatan menangkap ketam dilakukan setiap hari termasuk penangkap ketam wanita yang merupakan satu gambaran yang jarang dilihat di tempat lain.
.
Kaedah menangkap ketam itu masih dilakukan secara tradisional iaitu dengan menggunakan perangkap atau tangkul. Ada juga menggunakan cakok yang diperbuat daripada besi berukuran dua sentimeter, panjang hampir 1.5 meter dan bengkok di hujungnya.
.
Besi cakok dimasukkan ke dalam lubang ketam bagi menarik keluar ketam dari sarangnya.
.
Kalau anda datang ke sini pada pukul 5 petang, anda akan terpegun melihat betapa wanita juga tidak kurang hebatnya merempuh ombak, meredah paya bakau dan pokok api-api demi mencari rezeki.
.
Siapa sangka kaum ibu yang rata-ratanya suri rumah itu cekap menunjukkan kepakaran mereka mengikat ketam sambil berseloroh dengan rakan-rakan.
.
Cukup seronok melihat seekor demi seekor ketam ditangkap dan diikat (menggunakan alat khas yang dibuat daripada kayu menyerupai playar besar) sebelum penyepitnya diikat dengan menggunakan tali rafia.
.
Mengikat penyepit ketam adalah satu kerja yang berisiko. Jika kurang berhati-hati, jari akan menjadi mangsa dikepit oleh ketam.
.
Ketika wartawan Kosmo! menghampiri sebuah bot yang baru masuk ke pangkalan, dua wanita kelihatan tersenyum melihat kami seolah-olah merasa puas dengan hasil tangkapan hari itu.
.
Ramah orang kampung, mereka senang diajak berbual tetapi enggan membenarkan wajah mereka dirakam secara berdepan. Malu, kata mereka.
"Kami sememangnya anak nelayan jati. Sejak kecil, kami sudah turun ke laut bersama bapa. Setelah berkahwin, kami ikut suami pula menimba ilmu tentang laut," cerita Salasiah Johan, 44.
.
Hari itu, dia turun bersama rakannya Sabariah Abdul, 36, dan berjaya membawa pulang rezeki ketam yang bernilai kira-kira RM120.
.
Menurut Sabariah pula, mereka menangkap ketam dengan menggunakan perangkap yang di dalamnya diletakkan umpan isi ikan tilapia.
.
"Hari ini, kami memasang 150 perangkap," beritahu Sabariah sambil mengangkat ketam yang sudah diikat.
.
Bagi Ahmad Najib Mohd. Noh, 26, walaupun nampak mudah tetapi pekerjaan menangkap ketam cukup mencabar. Beliau yang baru dua tahun menjadi nelayan mula merasa seronok walaupun pendapatannya tidak menentu.
.
"Dulu, saya kerja kilang dekat Prai, kemudian berhenti sebab masalah pengangkutan dan ambil keputusan untuk turun ke laut dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM100 setiap tangkapan.
.
"Sekarang, saya tidak akan menoleh ke belakang kerana menangkap ketam inilah sumber rezeki," ujarnya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 2 tahun.
.
Rakannya, Rizal Kamaruddin, 35, memberitahu, dia sudah lapan tahun menjadi nelayan ketam selepas meninggalkan kerja sebagai buruh ladang kelapa sawit kerana tidak berpuas hati dengan layanan bekas majikannya.
.
"Kerja tangkap ketam ini pendapatannya lebih lumayan daripada kerja di ladang sawit. Walaupun ada masa tertentu pendapatannya berkurang, tetapi saya amat puas hati," ceritanya sambil mengikat ketam seekor demi seekor.
.
Walaupun mahir mengikat ketam, namun ketika ditemu bual, ibu jarinya disepit ketam yang saiznya sederhana besar.
.
Dengan pantas, Rizal menyentap ibu jarinya dan ketam itu terpelanting ke laut. Tanpa berlengah, Rizal mengikat seekor ketam yang lebih besar.
.
Menurutnya, ada dua istilah ketam yang diberi nelayan iaitu Togo (ketam besar yang ada isi otak) dan Jakang (ketam jantan sederhana besar). Hasil tangkapan pula dijual kepada peraih yang sedia menunggu di pangkalan pada setiap petang dengan harga RM10 sekilogram (kg) bagi ketam Togo, RM8 (ketam Jakang) dan RM5 bagi ketam kecil.
.
Seperti kerja-kerja lain, pasti ada cabaran dan bagi para nelayan itu, perkara yang paling mereka takuti adalah memerang laut dan biawak. Memerang laut yang digelar 'peronda laut' boleh memusnahkan berpuluh buah perangkap ketam dalam masa tidak sampai satu jam.
.
Menurut Rizal sepanjang kerjayanya sebagai penangkap ketam, pernah sekali 'peronda laut' itu memusnahkan 70 buah perangkap ketamnya.
"Hari ini, dapatlah lebih kurang RM120. Saya menggunakan 100 buah perangkap berumpankan isi ikan duri," jelasnya.
.
Seorang peraih muda, Razak Md. Desa, 42, mengakui hasil ketam di sini memang dicari pembeli terutama pengusaha makanan laut sekitar Perak dan Kuala Lumpur dengan harga mencecah lebih RM30 sekilogram.
.
"Baru sebentar tadi, saya membeli hampir 200 kg dari nelayan di sini, dan mungkin ada lagi, sebab terdapat beberapa nelayan lain masih belum pulang," katanya. -kosmo online

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung