Selasa, Jun 08, 2010

Felda Akan Menjadi Pengeluar Daging, Susu Terbesar, Kata Najib

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan Felda akan menjadi pengeluar daging dan susu terbesar di Malaysia melalui satu perkongsian perniagaan yang baharu dengan rakan strategiknya bagi melaksanakan pembangunan projek ternakan lembu bersepadu di negara ini.
.
Perdana Menteri berkata perkongsian strategik itu adalah satu mercu tanda penting bagi Felda untuk menjadi peserta antarabangsa utama di dalam bidang perniagaan pertanian.
.
"Hari ini merupakan titik permulaan bagi Felda menjadi tauke daging dan susu. Bukan sebarang tauke tetapi tauke yang besar. Kalau sebelum ini Felda membeli ladang tebu dan menjadi "Raja Gula", dan sekarang ini menjadi "Raja Daging dan Susu," katanya.
.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian antara Felda Global Ventures Livestock Sdn Bhd, Middle East Oil and Grains Ltd dan Felda Iffco Sdn Bhd di sini hari ini.
.
Najib berkata satu projek ternakan lembu bersepadu yang dilaksanakan oleh kumpulan Felda dan rakan strategiknya akan memberikan sumbangan signifikan mengenai cara Malaysia membina sara diri yang lebih meluas di masa depan dan membangunkan salah satu pusat pengeluaran daging Halal terbesar di rantau ini.
.
Katanya Malaysia terlalu bergantung kepada pengimportan daging dan susu dan perlu memajukan opsyen bekalan domestik untuk menampung keperluan penduduk negara ini yang kian berkembang. Kini, Malaysia mengeluarkan hanya 25 peratus daripada daging yang digunakan di negara ini dan hanya 5.0 peratus daripada bekalan susu domestik.
.
Sementara itu, Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata satu syarikat usaha sama yang baharu, Felda IffcoAllana Malaysia Sdn Bhd (FIAM) telah diperbadankan untuk melaksanakan pembangunan projek itu.
.
Katanya projek itu melibatkan kesemua aktiviti utama pada keseluruhan rantaian nilai industri ternakan daging, iaitu penternakan lembu, pertanian fidlot, penternakan tenusu, kilang makanan dan pemprosesan produk ternakan.
.
"Projek itu memerlukan anggara RM688 juta kos pelaburan," katanya.Mohd Yusof berkata kumpulan Felda akan menyediakan akses kepada bank tanahnya yang berkeluasan kira-kira 850,000 hektar, bagi mewujudkan infrastruktur estet dan menyediakan pengetahuan operasi tempatan yang tidak ternilai bagi projek itu.
.
Katanya projek itu dijangka menyumbang ke arah menangani isu sara diri Malaysia yang rendah di dalam pengeluaran daging dan susu serta mendorong negara ini untuk menjadi pengeluar daging halal terbesar di rantau ini.
.
Pada majlis itu, satu lagi majlis memeterai perjanjian diadakan antara Felda Prodata Systems Sdn Bhd dan Innovation Associates Consulting Group untuk melaksanakan secara bersama perkhidmatan perundingan, teknologi dan yang diuruskan.
.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Penjagaan kesihatan dengan kos yang optimum

. Dengan kemajuan penjagaan kesihatan dan rawatan yang semakin meningkat, kos penjagaan kesihatan juga turut meningkat.  . Tujuan pelan pe...