Thursday, June 10, 2010

Industri Burung Walit Jana Pendapatan Rakyat

Oleh Syed Azwan Syed Ali
.
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Industri burung walit yang semakin pesat berkembang di negara ini mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara sekaligus menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
.
Ini kerana industri dengan nilai eksport mencecah RM1.5 bilion setahun itu mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha dalam jangka masa singkat berbanding bidang pertanian lain.Modal dilaburkan tidak tinggi selain masa menuai "hasil" juga tidak lama.
.
Pelaburan antara RM10,000 hingga RM30,000 diperlukan untuk membina sebuah rumah burung di atas tanah seluas 10 kaki lebar dan 15 kaki panjang, tidak termasuk kos membeli atau menyewa tanah terbabit. Manakala RM250,000 hingga RM600,000 diperlukan untuk membina sebuah premis burung yang berskala besar atau apa yang dikenali sebagai "hotel burung" di kalangan pemain industri.
.
DANA PINJAMAN
.
Kebanyakan negeri termasuk di Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak, lot-lot rumah kedai diubahsuai menjadi premis rumah burung ekoran tarikan pulangannya yang lumayan. Sup sarang burung dipercayai mendatangkan banyak khasiat antaranya "awet muda" dan melancarkan perjalanan darah, mendapat permintaan tinggi masyarakat tanah besar China yang menjadikan hidangan itu sebagai pengukur status individu.
.
Ia juga semakin diminati sebilangan golongan elit masyarakat Asia Barat. Menyedari potensi industri burung walit kepada ekonomi negara, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Agrobank memperuntukkan dana pinjaman berjumlah RM67.7 juta untuk membiayai projek-projek berkaitan industri itu.
.
Pengarah Urusan Agrobank Datuk Ahmad Said berkata peruntukan itu sejajar dengan usaha kerajaan melalui Model Baru Ekonomi (MBE), dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi meningkatkan pendapatan rakyat daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 setahun.
.
PENYERTAAN SEMUA KAUM
.
Ahmad berkata dana khas itu akan membolehkan sekurang-kurangnya 2,000 pelanggan membina rumah burung walit berskala kecil, antara RM10,000 hingga RM30,000 sebuah dengan kadar faedah serendah 3.75 peratus. Pemerhati industri melihat dana pinjaman Agrobank itu akan membolehkan industri itu yang ketika ini dimonopoli "tokeh-tokeh Cina" disertai usahawan-usahawan dari semua kaum dengan kadar faedah rendah.
.
Ahmad berkata harga sarang burung yang tinggi iaitu sekitar RM3,000-RM4,000 sekilogram bagi sarang burung yang belum diproses dan mencecah sehingga RM12,000 bagi sarang burung yang diproses menyatakan kenapa industri itu berkembang pesat sejak akhir-akhir ini.
.
Dilaporkan, kini terdapat 50,000 premis burung walit di seluruh negara.Dalam memastikan penyertaan golongan miskin dalam industri ini, kerajaan juga melancarkan geran berjumlah RM5 juta untuk membolehkan 500 keluarga miskin di seluruh negara mempunyai rumah burung walit.
.
1GP DIBAWA KE PERINGKAT MENTERI
.
Setiap keluarga yang dikenalpasti (pendapatan kurang RM450 sebulan) akan dibinakan sebuah rumah burung kos rendah bernilai RM10,000 yang diharap menjadi sumber pendapatan tambahan bagi keluarga terbabit. Dalam laporan media pada 11 Feb lepas, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata keluarga miskin itu akan dikenalpasti JPV negeri.
.
Namun ketika industri yang bermula dengan migrasi spesies burung dari Indonesia sejak 10 tahun lepas berkembang pesat, soal-soal regulasi industri itu dilihat masih belum diselesaikan.Ini kerana garis panduan industri burung walit atau 1GP yang disediakan JPV selaku agensi peneraju industri burung walit negara, masih belum dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan di atas sebab-sebab tertentu.
.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini berkata 1GP yang akan menjadi standard bagi industri burung walit itu telah selesai dibincangkan di peringkat pegawai kementerian terbabit dan akan dibawa ke peringkat menteri.
.
KEKALKAN STATUS PENGELUAR
.
Selain Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, tiga kementerian lain yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Apa yang pasti, sepertimana diharapkan pemain industri, 1GP akan segera dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah pembinaan premis burung di kawasan bandar yang dikaitkan dengan masalah bau, bunyi dan risiko penyakit.
.
Selain mengekalkan status negara sebagai pengeluar sarang burung di rantau Asia Tenggara, dana dan garis panduan itu tentunya akan menjadi pemangkin hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.
.
Ketika ini, pasaran utama komoditi itu ialah China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura dengan Malaysia dikenali sebagai pengeluar sarang burung walit yang berkualiti selepas Indonesia dan Thailand.
.
-- BERNAMA

No comments: