Tuesday, June 22, 2010

Industri Halal Boleh Beralih Daripada Pasaran Khusus Utk Peroleh Manfaat Dunia

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Industri Halal boleh beralih daripada pasaran khusus dan menjadi tarikan besar di seluruh dunia, memandangkan nilainya berasaskan integriti, kualiti dan menyeluruh, kata pengasas dan pengarah urusan KasehDia Sdn Bhd dan Forum Halal Dunia, Jumaatun Azmi.
.
Bagi menjayakannya, beliau berkata industri itu mesti memiliki syarikat yang cemerlang, yang berjaya mengharungi gelombang, untuk menghasilkan jenama yang diperakui bukan sahaja oleh industri, malah oleh ekonomi utama.
.
"Menerusi usaha berterusan, kita akan dapat bergerak daripada jenama serantau kepada multinasional," katanya pada Anugerah Jurnal Halal Kelima yang diadakan sempena Forum Halal Dunia, di sini Isnin malam.Jumaatun berkata peserta pasaran mesti diberikan motivasi berasaskan hakikat bahawa mereka bukan sekadar menjual produk dan perkhidmatan, malah menjual gaya hidup berasaskan nilai bahawa ia memberi manfaat kepada semua.
.
Anugerah Jurnal Halal 2010 diberikan kepada tujuh syarikat dan individu dari seluruh dunia atas inisiatif luar biasa mereka dalam tujuh kategori.Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan anugerah itu. Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengungguli Anugerah Produk Terbaik bagi SimplySiti, barisan produk kecantikan dan penjagaan kulit halal menggunakan teknologi penjagaan kulit terkini.
.
Anugeah bagi Perkhidmatan atau Produk Kewangan Terbaik dimenangi FORAS International Investment Jeddah, Arab Saudi.Colgate-Palmolive (Malaysia) Sdn Bhd memenangi Anugerah Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar.Dalam bidang Perjalanan dan Hospitaliti, anugerah dimenangi Cresentrating Pte Ltd Singapura.
.
Anugerah Penyedia Perkhidmatan Terbaik pula diungguli Al-Jazeera English, manakala anugerah Inovasi Terbaik oleh ImHalal.com, yang diasaskan oleh adik-beradik dari Iran-Kuwait yang berpejabat di Belanda.
.
Anugerah yang memperakui pencapaian Peribadi Luar Biasa pula dimenangi Dr Naif Al-Mutawa, pakar psikologi klinikal Kuwait dan pencipta "The 99", kumpulan pertama komik adiwira Islam.
.
-- BERNAMA

No comments: