Khamis, Jun 17, 2010

Produk hiliran nanas

Buah nanas mengandungi vitamin, zat galian, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu dalam memberikan zat pemakanan yang seimbang.
.
Nanas juga merupakan sumber utama Vitamin C manakala kandungan lemak dan natriumnya amat sedikit.
.
Jus nanas dan jus buah-buahan campuran dalam kotak tetrapak adalah antara minuman yang popular di pasaran.
.
Jus itu juga boleh digunakan bagi menghasilkan jus jernih, kordial, cuka dan wain manakala jus yang diperam boleh dijadikan agar pejal atau nata de coco.
.
Isi nanas yang dikisar halus yang dipanggil pulpa boleh digunakan terus atau dipekatkan dan dibungkus dalam tin atau beg plastik aseptik untuk digunakan sebagai bahan mentah bagi pemprosesan produk lain.
.
Gegelung nanas pula merupakan sejenis snek pejal yang dihasilkan daripada daripada pulpa nanas bersama-sama ramuan lain dan berbentuk sekeping agar nipis yang digulung.
.
Serbuk nanas boleh dihasilkan daripada pulpa nanas melalui proses pengeringan sembur selain kepingan flake daripada proses pengeringan deram.
.
Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan pelbagai teknologi bagi menghasilkan produk hiliran nanas.
.
Timbalan Pengarah Program Pembangunan Produk dan Pemprosesan Makanan, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI, Hasimah Hafiz Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai teknologi pemprosesan nanas bagi sesuai bagi industri kecil dan sederhana.
.
"Selain jus, kordial dan jem, MARDI juga telah membangunkan snek hirisan nanas secara gorengan vakum yang dihasilkan dengan kandungan minyak yang rendah," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.
.
Nanas bersalut sejuk beku adalah produk baru yang telah dipasarkan di mana hirisan nanas yang telah dirawat disalut dengan adunan tepung dan serbuk roti menyerupai naget.
.
Pihak MARDI jelas Hasimah telah bekerjasama dengan beberapa pengusaha IKS bagi menghasilkan jeli konfeksi, bar granola rendah kalori atau tinggi serat, halwa bersalut coklat, acar buah, inti nanas, hirisan nanas dalam jus dan dadih.
Selain makanan, jus nanas dan batang pokok nanas merupakan sumber enzim bromelain yang boleh menguraikan protein dan boleh digunakan bagi melembutkan daging.
.
Ekstrak nanas yang mengandungi asid alfa hidroksi dan enzim telah digunakan dalam produk kosmetik bagi menggalakkan ketegangan kulit dan menanggalkan sel kulit mati.
.
Nanas juga digunakan sebagai ubat dalam perubatan tradisional dalam beberapa negara misalnya akar dan buah nanas dimakan atau disapu di atas kulit sebagai ubat anti-inflamatori.
.
Di Filipina, nanas digunakan sebagai ubat cacing manakala daun nanas digunakan sebagai sumber pembuatan kain.
.
Manakala serat yang daun nanas digunakan oleh penduduk China, India, Afrika Barat dan Taiwan bagi membuat benang, jala dan kain.
.
Jambul dan hampas nanas dari kilang pemprosesan nanas dikeringkan bagi dijadikan makanan ternakan.
.
Kegunaan nanas yang pelbagai daripada makanan, perubatan, tekstil, kosmetik dan makanan menjadikan tanaman berkenaan mendapat jolokan 'Buah seribu guna'.
..
--- Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung