Selasa, Januari 04, 2011

Cameron Highlands syurga pertanian


Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff bersama kakitangan Mardi membantu seorang pengunjung (kanan) yang tertarik dengan tanaman epal di TATM Cameron Highlands.


MEREKA yang berminat dalam sektor pertanian pastinya akan teruja dengan teknologi baru yang menjadikan sektor tersebut menarik dan berdaya maju.

Di negara ini, pertanian seakan bangkit semula daripada bidang yang dikebelakangkan, kepada satu industri yang mula menjana minat yang luar biasa di kalangan rakyat.

Syaratnya, bidang pertanian perlu ditransformasikan menggunakan suntikan teknologi moden supaya lebih berdaya maju dan menjana keuntungan.

Berbicara mengenai teknologi pertanian, mahu tidak mahu kita tidak dapat menafikan peranan agensi yang paling kehadapan dalam bidang tersebut iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

MARDI sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu memartabatkan industri pertanian tempatan menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pelbagai inovasi.

Pada masa sama, MARDI turut menubuhkan taman-taman pertanian yang menghimpunkan teknologi-teknologi pertanian yang dibangunkan untuk tatapan orang ramai bagi mengetahui sendiri produk institusi terbabit.

Antara simbol kejayaan MARDI dalam R&D pertanian ialah memajukan kawasan pertanian yang terkenal di Cameron Highlands.

Cameron Highlands menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana sebahagian besar keindahan alam tanah tingginya masih terpelihara.

Ladang-ladang teh yang menghijau, kebun-kebun sayur yang belbagai, taman-taman bunga yang penuh warna, dan kebun buahan yang belbagai di samping taman rama-rama dan pemeliharaan lebah menggamit kedatangan pelancong hampir sejuta orang saban tahun.

Dengan ketinggian antara 1,000 meter dan 1,829 meter dari aras laut, dan suhu antara 12 dan 15 darjah Celsius pada waktu malam dan antara 22 dan 25 darjah Celsius pada waktu siang menjadikan peranginan ini tanah tinggi itu sentiasa menjadi tumpuan pelawat yang ingin merasai suasana nyaman suhu tanah tinggi berbanding dengan suhu di tanah rendah.

Salah satu kawasan yang cukup dikenali di Cameron Highlands ialah Tanah Rata yang mana MARDI telah membangunkan sebidang tanah di sini sebagai Taman Agro-Teknologi MARDI (TATM) yang dirasmikan pada 2003.

TATM menjadi tumpuan kerana kepelbagaian tanaman dan aktiviti pertanian yang pastinya menggamit pelancong.

TATM yang terletak di Tanah Rata ini bagaikan satu kawasan pertanian semula jadi meskipun ia adalah kawasan penyelidikan dan pembangunan pertanian yang dijalankan oleh MARDI.

TATM pada asalnya merupakan Stesen Penyelidikan Persekutuan yang mula dibina penjajah British pada 1925.

Bagaimanapun, selepas merdeka, ia diletakkan di bawah Jabatan Pertanian sebelum diserahkan kepada MARDI pada 1971.

Cuaca sejuk dan persekitaran menghijau di sini menjadikannya unik dan sentiasa menjadi tumpuan.

Di mana lagi anda melihat kehijauan melata dan ‘digabung jalin’ dengan warna warni bunga berkembang pagi dan kicauan burung.

Di kawasan seluas 43 hektar ini, ia dipenuhi pelbagai tanaman spesies temperate yang jarang ditemui di tempat lain di negara ini.

Komponen utama TATM ialah taman Inggeris, taman herba, taman ros, bunga keratan, ladang contoh strawberi, taman pelbagai bunga, taman dapur, petak-petak penyelidikan, pusat maklumat teknologi, ladang dan kilang teh dan makmal ‘test- bed’.

Di taman ini juga terdapat koleksi berbagai buahan temperat seperti anggur, epal, pir, oren, lokuat, laici, macademia, persimmon (pisang kak), jaboticaba (ceri), blackberi, markisa dan tamarillo (tomato).

Antara teknologi pertanian yang terdapat di TATM ialah pelbagai kaedah sistem fertigasi seperti teknik nutrien cetek (nutrient film technique) dan sistem ebb and flow.

Terdapat juga berbagai kaedah tanaman tanpa tanah seperti penggunaan cocopeat’ dan perlite sebagai media tanaman.

Pelbagai jenis struktur pelindung hujan, kaedah-kaedah pengawalan perosak dan penyakit tanaman, dan petak sains tanah.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Stesen MARDI Cameron Highlands Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff, banyak tarikan yang boleh membawa pelancong ke pusat peranginan tersebut, terutama mereka yang berminat dengan pertanian.

Stesen tersebut kata, beliau berfungsi sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi teknologi pertanian tanah tinggi yang mana aktiviti penyelidikan dan pembangunan pertanian dalam bidang sumber strategik, hortikultur, mekanisasi dan promosi teknologi dijalankan.

‘‘Pengunjung didedahkan dengan aktiviti penyelidikan dan kaedah pembangunan teknologi pertanian,’’ ujarnya dalam satu taklimat dengan MEGA di pejabatnya di pusat peranginan itu baru-baru ini.

Selain tanaman, TATM ini juga mempunyai pusat jualan yang menawarkan produk berasaskan pertanian, sayur-sayuran dan buah -buahan segar untuk dibeli.

Ini sejajar dengan pembangunan Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan pertanian terkenal di Malaysia.

Cameron Highlands merupakan daerah terkecil di Pahang, ia cuma meliputi dua peratus dari keluasan negeri Pahang.

Di samping teh, sayuran dan bunga-bungaan, industri strawberi juga telah begitu sinonim dengan daerah ini.

Industri strawberi di daerah ini telah disokong oleh kerajaan dengan konsep ‘satu daerah, satu industri’ (SDSI).

Menurut Dr Wan Abdullah, terdapat kira-kira 6,000 hektar daerah tersebut telah diusahakan dengan kawasan pertanian.

Sementara itu, menurut Dr Wan Abdullah, MARDI juga mempunyai 300 ekar (120 hektar) tanah di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Namun disebabkan kebanyakan tanah di situ mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah, cuma sebahagian kecil sahaja kawasan diusahakan untuk aktiviti pertanian.

sumber : Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung