LADANG De Paradise Sdn. Bhd., bukan setakat menternak rusa. Malah ia turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat persekitarannya di samping berpeluang untuk merasai pengalaman memburu rusa.
Ini mungkin pengalaman yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana dan pihak pengurusan ladang ternak itu kini sedang berusaha untuk menyediakan tapak khusus untuk tujuan tersebut.
Mungkin selama ini ada di kalangan orang ramai yang berangan-angan utuk memburu. Dengan adanya kemudahan di ladang itu mereka boleh merasai sendiri cabaran tersebut.
Kawasan perburuan yang disediakan itu seluas empat hektar dan ia akan dibuka kepada para pemburu yang terdapat di negara ini.
Pengusaha ternakan rusa di ladang tersebut, Muhammad Akhbar Chiraghdin memberitahu, kawasan memburu itu bagaimanapun adalah berpagar.
Katanya, mereka yang memiliki lesen senjata api sahaja hanya dibenarkan berbuat demikian.
"Mereka boleh memburu rusa yang berkeliaran di kawasan itu," ujarnya.
Jika mereka gagal menembak sebarang rusa katanya, pihak pengurusan akan memberikan haiwan itu sebagai insentif dan tarikan.
Selain itu pihak pengurusan ladang itu jufa bercadang untuk membuka tapak permainan seperti paint-ball yang mana mereka boleh bertarung sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan senapang paint-ball terbabit.
Semua itu merupakan antara usaha untuk menjadi ladang De Paradise sebagai kawasan eko pelancongan.
Selain untuk pengunjung yang ingin merasai suasana hidup di kawasan ladang ia juga boleh dijadikan tempat latihan mana-mana pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penternakan rusa.
Untuk tujuan itu kata Muhammad Akhbar, segala kemudahan asas telah disediakan.
Katanya, kemudahan seperti asrama disediakan kepada mereka sambil mengikuti latihan yang disediakan.
Semua rancangan bagi menjadikan ladang itu sebagai kawasan pelancongan dan latihan dijangka dapat direalisasikan menjelang Mac ini.
Beliau berharap ia bakal menjadi tarikan baru eko pelancongan di kawasan tersebut.
Dengan itu De Paradise bukan sahaja ladang perternakan rusa tetapi juga sebagai salah satu destnasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza di Pahang.
Selain asrama juga katanya, kemudahan penginapan lain turut dibina untuk kemudahan orang ramai.
Ia termasuk membina beberapa chalet penginapan dan dewan persidangan.
Tambahnya, selain rusa, beberapa haiwan lain seperti arnab turut diternak di situ supaya pengunjung dapat merasai suasana sebenar kehidupan di ladang.
sumber: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment