FACEBOOK adalah kisah kejayaan luar biasa pemilik nama Mark Elliot Zuckerberg, lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari New York, Amerika Syarikat.
Dengan jumlah pengguna hampir 600 juta orang, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Facebook itu mampu berada dalam senarai 40 individu bilionair dunia seperti yang diuar-uarkan majalah Forbes.
Sebuah laman berita, www.dailymail.co.uk menganggarkan sehingga 4 Januari lalu, nilai kekayaan yang dimiliki Zuckerberg berjumlah RM27.5 bilion (AS$9 bilion).
“Inisiatif pemuda ini untuk menghubungkan lebih daripada setengah bilion manusia dan memetakan jaringan sosial di kalangan mereka merupakan fenomena Internet masa kini.
“Berupaya menghasilkan satu bentuk pertukaran maklumat, Facebook juga boleh mengubah cara kita memanfaatkan hidup.
“Memang seharusnya pereka laman seperti ini diberi pengiktirafan,” jelas majalah Time yang yang menamakan Zuckerberg sebagai Person of The Year 2010.
Sehingga Disember lalu, dianggarkan seorang daripada 12 penduduk bumi memiliki akaun Facebook. Angka itu menyamai jumlah 550 juta pengguna.
Kerja gila
“Andaikan Facebok adalah sebuah negara, ia merupakan negara ketiga yang mempunyai populasi penduduk tertinggi selepas China dan India.
“Jika dihitung masa yang diperuntukkan oleh setiap pengguna untuk melayari Facebook, jumlah masa yang dihimpun bersamaan dengan 700 bilion minit sebulan,” jelas Time lagi.
Mula beroperasi pada Februari 2004 di sebuah bilik di kampus Universiti Harvard, Zuckerberg yang ketika itu berada di tahun kedua membangunkan Facebook dibantu dua rakannya, Dustin Moskovitz dan Sean Parker.
Diberi nama thefacebook.com, perancangan asal mereka sekadar menyediakan jaringan komunikasi antara pelajar kampus untuk mengetahui perkembangan antara satu sama lain.
Selepas mendapat sambutan baik dan banyak permintaan supaya jaringan laman tersebut diperluaskan, Zuckerberg cuba mengembangkan rangkaian berdasarkan kepercayaan dalam perhubungan ke seluruh dunia.
“Bagi saya semua ini adalah kerja gila. Saya masih teringat perbualan saya dengan kawan-kawan di kolej. Ini yang kami mahukan tujuh tahun dahulu.
“Tetapi pada ketika itu, saya anggap impian itu hanya gurauan kerana kami adalah pelajar kolej. Kami tidak layak untuk melakukannya. Ini adalah kerja gila,” seloroh Zuckerberg.
Boleh diakses dalam 72 bahasa, Zuckerberg percaya komunikasi tidak sepatutnya tersekat hanya kerana faktor bahasa.
Malah dia sendiri sedang mempelajari bahasa Cina selain boleh menulis dan membaca dalam bahasa Perancis, Latin, Hebrew dan Greek kuno.
Sukar puas
Mengenali anak lelaki tunggal kepada pasangan doktor gigi dan pakar psikiatri ini, Zuckerberg dibesarkan di Dobbs Ferry, New York, bersama tiga orang kakaknya.
Menurut bapanya, Edward, anaknya itu mempunyai sifat keyakinan diri yang tinggi.
“Sejak kecil, berbual dengannya boleh menjadi sesuatu yang mencabar.
“Bagi sesetengah budak, jawapan untuk mereka mungkin seringkas ya atau tidak. Namun bagi Zuckerberg, dia tidak mudah menerima atau mempersetujui sesuatu jika jawapan yang diberikan kepadanya adalah tidak.
“Jika anda ingin berkata tidak, sediakan hujah kuat yang disokong dengan fakta, pengalaman, logik dan alasan munasabah.
“Malah, kami pernah membayangkan dia akan menjadi peguam suatu hari nanti kerana sifat ingin tahunya itu berupaya mempengaruhi hampir 100 peratus keputusan juri,” kata Edward.
Biarpun bergelar bilionair, Zuckerberg lebih suka mengamalkan kehidupan yang sederhana.
Dia memilih untuk tinggal di sebuah rumah yang disewa di Palo Alto bersama teman wanitanya, Priscilla Chan, seorang penuntut tahun tiga jurusan perubatan di Universiti California, San Francisco.
Dia juga hanya memandu kereta Acura TSX berwarna hitam berharga RM97,000 (AS$32,000).
Semasa kecil, Zuckerberg diajar mengenali program asas komputer sebelum bapanya mengupah seorang pembangun perisian berpengalaman, David Newman untuk melatihnya secara peribadi.
Mendapat pendidikan awal di sekolah tinggi swasta tempatan, Zuckerberg kemudian meneruskan pelajaran ke Philip Exeter Academy di New Hampshire.
Selepas itu, dia menyambung pengajiannya ke Universiti Harvard dan mengambil kursus dalam dua bidang serentak iaitu psikologi dan sains komputer.
“Ramai yang tidak faham mengapa saya ambil dua jurusan yang berbeza. Saya selalu tertarik untuk tahu bagaimana dua perkara ini bergabung untuk membangunkan perkara yang baik,” ujarnya.
Membuka rahsia mengapa warna biru dan putih menjadi warna latar Facebook, Zuckerberg sebenarnya lelaki tampan yang buta warna.
Mengikuti temu bualnya bersama Time, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment