Sunday, June 30, 2013

10 sebab yang perlu diberi perhatian oleh penulis Ebook



#10 – Terlalu banyak bereksperimen
Meskipun kajian terhadap potensi jualan ebook itu penting, namun terlalu banyak kajian akan menyebabkan kita berasa takut untuk bertindak. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, fokus untuk habiskan penulisan ebook kita dahulu, kemudian serahkan pada pakar untuk menentukan perkara-perkara teknikal.
#9 – Ebook kita teruk
Ebook kita mungkin tidak sesuai dari segi desain yang tidak menarik perhatian, tajuk yang tidak menepati citarasa pembaca, dan pelbagai faktor. Namun ia boleh diatasi dengan memberikan ebook kita kepada rakan sekeliling, bagi mereka menilai ebook dan menyatakan masalah yang perlu diperbaiki.
#8 – Kita tidak mempromosikan ebook
Promosi adalah nadi sesebuah perniagaan. Sama juga seperti ebook. Jika kita mahu menjual ebook, kita perlu menganggap diri kita sebagai pemilik bisnes. Lakukan promosi secara konsisten. Tuan dan puan boleh baca entri untuk mengetahui cara promosi ebook yang berkesan.
#7 – Harga ebook terlalu tinggi
Menurut Brian Tracy, harga merupakan salah satu daripada psikologi jualan. Jika harga ebook kita terlalu tinggi dan tidak relevan dengan maklumat yang ingin disampaikan, maka pembeli akan membuat keputusan untuk tidak membeli.
Oleh itu, pastikan kita melihat para pesaing kita terlebih dahulu, sebelum menetapkan harga ebook. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, harga ebook yang relevan dalam pasaran Malaysia adalah sekitar RM20 hingga RM60.
#6 – Terlalu banyak promosi ‘SPAM’
Promosi berbentuk SPAM adalah promosi yang tidak beretika. Bentuk promosi ini juga akan menjejaskan kredibiliti kita. Apabila kredibiliti kita terjejas, maka prospek akan hilang kepercayaan untuk membeli daripada kita. Pastikan kita melakukan teknik promosi yang beretika.
#5 – Kita adalah penulis yang tidak beretika
Penulis yang baik adalah penulis yang menulis perkara yang baik-baik, dan tidak mewujudkan sebarang kata-kata yang akan menjatuhkan mana-mana pihak. Sebagai seorang penulis, karya kita akan dibaca oleh ribuan pembaca. Jadi tulislah perkara yang baik dan benar sahaja.
#4 – Penulisan kita belum cukup baik
Mungkin sebelum ini kita biasa menggunakan bahasa SMS, atau bahasa singkatan. Elakkan daripada mengamalkan gaya penulisan seperti ini. Untuk menulis dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik, penulis disarankan agar membaca buku-buku terbitan PTS Publications.
Ini kerana buku-buku PTS menggunakan BMT (Bahasa Melayu Tinggi). Ini dapat melatih kita untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan lebih baik.
#3 – Tidak menggunakan perkhidmatan pakar
Jangan takut untuk upah pakar. Kesilapan yang sering dilakukan oleh penulis ebook yang baru bermula adalah, melakukan persiapan web jualan ebook dengan tenaga sendiri. Cara ini mungkin berkesan, tetapi ia akan makan banyak masa kita.
Dalam masa sama, kita mungkin berasa mahu mengaku kalah di pertengahan jalan. Oleh itu, pastikan kita serahkan tugasan teknikal seperti desain dan laman web pada pakar.  Tugas kita sebagai penulis ebook adalah menulis, dan menyiapkan karya ebook sahaja.
#2 – Kita tidak pernah menerbitkan ebook
Ini adalah faktor kegagalan yang pasti. Jika kita tidak pernah menerbitkan ebook, maka bagaimana kita ingin menjana pendapatan lumayan dengan ebook?
Jangan cakap kosong, mula menulis ebook kita hari ini.
#1 – Kita selalu inginkan kejayaan dalam masa singkat
J.A Konrath sudah membuktikan kejayaan tidak datang dalam jangka masa singkat. Beliau sendiri mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai jumlah pendapatan RM200,000 setahun. Malah ebook pertama beliau juga tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Namun atas dasar usaha dan percaya pada diri sendiri, akhirnya ia memberikan hasil.
Bagi penulis ebook yang ingin berjaya dalam bisnes ini, pastikan kita lakukan secara konsisten. Bagi yang beragama Islam, jadikan bidang penulisan ini sebagai bidang bisnes ini sebagai cara untuk kita berdakwah. Ini kerana setiap bait-bait ayat kita yang baik, Tuhan akan memberikan kita jaminan masuk syurga.

No comments: