Selasa, Julai 08, 2008

Rahsia Komunikasi Yang Baik

Sering kali saya ditanya oleh beberapa orang rakan, bagaimana caranya memiliki komunikasi yang baik khususnya di hadapan khalayak?
..
Soalan ini sebenarnya memerlukan satu jawapan yang agak fleksibel bergantung kepada keadaan dan minat seseorang dalam mendalami seni komunikasi.
..
Tambahan pula, saya bukanlah orang yang terbaik untuk bercerita tentang teknik komunikasi, namun setidak-tidaknya saya mempunyai pengalaman yang harus dikongsi bersama. Bagi saya sendiri, apa yang telah dicapai di dalam hidup saya bukanlah yang terbaik yang boleh dicapai oleh seseorang, anda rasanya mampu mencapai lebih dari ini sekiranya anda mahu!
..
Komunikasi Adalah Seni
Adalah satu perkara yang tidak dapat dinafikan bahawa komunikasi yang baik ialah satu perkara yang perlu ada kepada setiap individu yang ingin muncul sebagai da’ie. Namun, hakikat yang perlu diakui ialah Allah SWT tidak menjadikan semua individu mempunyai kebolehan semulajadi untuk berkomunikasi dan menyampaikan idea secara spontan di hadapan khalayak.
..
Bagi saya, komunikasi ialah satu seni (art). Sebagaimana seseorang memiliki kemahiran di dalam seni peperangan, melukis, khat malah sukan sekalipun, maka begitulah juga dengan seni komunikasi. Malah kalau boleh saya namakan ia adalah art of speaking. Seni inilah yang perlu di up-date kan dari masa ke semasa sesuai dengan tuntutan zaman.
..
Jika timbul persoalan, kenapa anda perlu menguasai seni ini?
Jawapannya, masyarakat umum hanya akan mempercayai maklumat yang anda sampaikan jika ia meyakinkan mereka. Namun, bagaimanakah anda boleh meyakinkan mereka seandainya anda sendiri kelihatan tidak meyakinkan?
Lebih dari itu, anda tidak mampu mempersembahkan maklumat dengan cara yang terbaik. Seni komunikasi yang baik ialah kunci kepada persembahan maklumat yang berkesan!
Saya umpamakan seperti seseorang yang menjual ubat di jalanan, kaedah dia mempersembahkan produknya itulah kadang-kadang merupakan faktor utama untuk melariskan jualan. Ia berbeza dengan seseorang yang tidak mampu mempromosikan produk dengan baik, sekalipun produknya memang baik, ia tidak mampu dijual dengan laris.
..
Berdasarkan pengalaman dan fakta, saya akan cuba menghuraikan beberapa rahsia asas dan kaedah-kaedah berkomunikasi dengan baik dan memberikan ucapan yang sempurna.
..
Apakah Rahsia Asas Untuk Menguasai Seni Komunikasi Dengan Baik?
..
Pertama : Sekitar 10 tahun yang lampau (1993 : umur saya 13 tahun), ketika saya baru saja menjejakkan kaki ke alam remaja, satu cita-cita terpahat di dalam diri saya, aku mesti menjadi ahli komunikasi yang baik!
Cita-cita ini terpahat di dalam diri saya buat beberapa lama sehinggalah saya mempunyai hak milik ke atas duit saku saya sendiri untuk membeli kaset-kaset ceramah dan sebagainya. Waktu itu, saya mempunyai beberapa penceramah yang menjadi idola peribadi saya. Saya mula mengkaji bagaimana penceramah-penceramah ini mengemukakan ideanya dengan cara yang berbeza antara satu sama lain.
..
Lalu, timbul keinginan di dalam hati saya bahawa saya perlu memiliki kemahiran ini. Saya simpulkan, rahsia pertama ialah keinginan! Tanyalah diri sendiri, mahukah anda memiliki komunikasi yang baik. Kalau ya, anda sebenarnya sedang menerokai jalan untuk berjaya, dan anda sudahpun 50% berjaya! Malangnya kalau tidak, rencana ini bukanlah untuk anda!
..
Kedua : Anda perlu mempunyai ‘sesuatu’ untuk dinyatakan. ‘Sesuatu’ yang dimaksudkan bahan. Seorang penceramah yang baik tidak seharusnya hanya mempunyai bahan-bahan yang sama sahaja untuk diulangi di tempat yang sama. Bagaimanakah anda boleh mengumpulkan bahan-bahan seperti ini?
..
Ia sebenarnya tidaklah terlalu payah di zaman teknologi dan maklumat seperti sekarang. Anda boleh bercerita tentang kisah-kisah di dalam Al-Quran dengan membaca kitab-kitab tafsir yang mudah didapati di perpustakaan. Anda juga boleh bercerita tentang isu-isu semasa dengan hanya membelanjakan sedikit wang untuk membeli akhbar-akhbar. Anda juga mungkin boleh membeli kaset-kaset penceramah yang sudah agak terkenal dan mengkaji bagaimanakah metodologi pendekatan mereka mengemukakan sesuatu isu. Pepatah Arab juga ada menyatakan : فاقر الشئ لا يعطى
..
Namun anda perlu beringat-ingat apabila berbicara tentang agama khususnya kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadis. Pastikan apa yang anda sampaikan mempunyai sandaran yang benar-benar kukuh! Jikalau tidak, sekali sahaja anda terlanjur, pendengar akan memandang rendah terhadap anda. Lebih jauh dari itu, anda akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Saya sudah melihat ramai di kalangan penceramah yang baik namun tidak berhati-hati semasa membaca nas-nas daripada Al-Quran mahupun Hadis. Kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan menyebabkan kelemahan tertonjol dengan begitu jelas.
..
Ketiga : Seterusnya, apabila anda mempunyai keinginan dan bahan, kenapakah anda masih gugup untuk berkomunikasi di hadapan khalayak? Jawapannya, anda memerlukan latihan. Biasakan diri anda untuk bercakap di hadapan khalayak. Jangan sesekali melarikan diri apabila dipertangungjawabkan. Tidak perlu menunggu medan-medan yang besar (seperti rapat umum) untuk berucap, mungkin sudah cukup dengan kumpulan-kumpulan usrah, kelas pembelajaran dan sebagainya.
..
Saya masih ingat latihan yang saya terima untuk membiasakan diri dalam menyampaikan ucapan. Saya dilatih untuk memberikan kuliah di madrasah-madrasah ketika saya berumur 15 tahun. Masih saya ingat guru saya, Ustaz Mohd Mansor Haji Daud - sekarang KPP (Pendidikan) YIK – sering membawa saya ke tempat-tempat beliau menyampaikan kuliah. Beliau diundang untuk memberikan pengisian di dalam program mahasiswa, masyarakat kampung dan lain-lain. Semuanya memerlukan pendekatan yang berbeza. Pendekatan-pendekatan seperti inilah yang didedahkan kepada saya di dalam perjalanan pergi dan balik. Seterusnya, beliau sering mengarahkan saya untuk menggantikan tempat beliau menyampaikan kuliah dan ceramah di lokasi-lokasi yang berdekatan. Apa yang merimaskan, beliau sering memberitahu saya untuk berbuat demikian lebih kurang 10-20 minit sebelum program bermula! Namun, itulah yang melatih saya dan membiasakan diri saya untuk memberikan ucapan tanpa persediaan. Sehingga kini, saya sebenarnya berterima kasih kepadanya keana mendera saya sedemikian rupa.
..
Itu hanyalah sekadar pengalaman, saya yakin seandainya kita semua sentiasa mencari peluang untuk melatih diri berkomunikasi di hadapan khalayak, ia mampu untuk menghilangkan gementar dan mengikis gugup. Apa yang menjadi masalah ialah, ramai di kalangan kita sering mengelakkan diri bila ditaklifkan untuk berkomunikasi di hadapan khalayak hatta di dalam kelas sekalipun! Sikap ini ialah sesuatu yang negatif di dalam hidup kita. Untuk berjaya, anda perlu mengikis sikap negatif ini.
..
Ketiga-tiga rahsia asas di atas (keinginan, bahan dan latihan) ialah perkara-perkara yang bagi saya tidak dapat tidak harus dimiliki oleh seseorang yang mahu menguasai seni komunikasi. Semakin lama kita berkecimpung di dalam bidang ini, maka semakin kita masak sebenarnya dengan asam garam komunikasi yang akhirnya menjadikan kita manusia yang berpengalaman. Seterusnya, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak petua-petua yang harus anda amalkan apabila berkomunikasi di hadapan khalayak. Antaranya :
..
1 Mengawal perasaan gemuruh : anda harus cuba untuk memerangi perasaan ini semaksima yang mungkin. Tidak dapat dinafikan, perasaan ini pastinya akan bertandang tambahan pula jika anda bercakap di hadapan orang yang anda segan dan hormati (berdasarkan pengalaman saya, paling sukar ialah berucap di hadapan guru-guru dan pensyarah kita sendiri). Namun ia perlu dikawal. Anggaplah bahawa anda ingin menyampaikan bahan yang masih belum diketahui oleh pendengar.
...
2 Membuka ucapan dengan pembukaan yang baik : Pembukaan yang baik ialah satu keistimewaan yang mampu menarik pendengar untuk mendengar ucapan seterusnya. Ucapan biasanya dibuka dengan kata-kata aluan selepas sedikit puji-pujian kepada Allah, selawat dan doa. Ia satu pembukaan yang cukup sempurna dan bertepatan dengan sunnah.
..
Seterusnya anda perlu mengambil berat mengenai protokol ucapan mengikut keutamaan pendengar dimulai dengan pengerusi majlis sendiri. Pembukaan dan permulaan ucapan yang baik inilah yang membentuk persepsi awal (first impression) pendengar terhadap anda. Agak istimewa juga jika anda dapat memulakan ucapan dengan serangkap pantun, namun ia juga tidak sesuai jika dilakukan sentiasa.
..
Elakkan sama sekali menyatakan sesuatu yang membuatkan pendengar menjadai tidak tertarik dengan apa yang akan anda sampaikan. Sebagai contoh, anda menyatakan “Maafkan saya kerana tidak bersedia untuk berucap, ini kerana saya baru saja dimaklumkan..” Perkataan-perkataan seperti ini seolah-oalh anda ingin memindahkan kesalahan dan kecacatan ucapan anda kepada orang lain sekalipun anda bukanlah benar-benar bernita demikian. Buatlah sebaik mungkin dan biarlah pendengar yang menghakimi mutu ucapan anda.
..
Jika anda boleh menghafal mana-mana pembukaan ucapan yang biasa diucapkan oleh Rasulullah SAW, itu lebih baik kepada seorang da’ie.
.. ..
3 Bahasa yang sesuai : Sesuaikan bahasa yang ingin digunakan dengan keadaan pendengar. Jangan sesekali menggunakan bahasa yang terlalu tinggi dan intelek apabila berbicara dengan masyarakat umum di kampung-kampung. Ia akan menyebabkan anda ditolak dari awal lagi. Begitu juga jangan menggunakan bahsa kampung yan rendah mutunya bila berhadapan dengan golongan yang terpelajar. Ia akan menyebabkan anda dipandang rendah dan apa yang akan anda sampaikan dianggap sebagai tidak bermutu.
..
Gunakan contoh-contoh bidalan yang berkaitan dengan persekitaran pendengar. Sebagai contoh, apabila anda menyampaikan ceramah agama di hadapan pelajar-pelajar jurusan sains, anda oleh mendatangkan contoh-contoh yang berkait rapat dengan sains yang terdapat di dalam Al-Quran. Jika anda mampu untuk melakukan seperti ini, anda sebenarnya memberikan satu keyakinan kepada pendengar dan juga kepada diri anda sendiri!
..
Dalam masa yang sama, anda juga boleh menggunakan sekali-sekala lenggok bahasa yang mempunyai nilai sastera yang tinggi supaya apa yang anda sampaikan benar-benar menyentuh hati dan perasaan. Pembacaan yang banyak boleh membantu anda dalam hal ini.
..
4 Penutup yang sempurna : Apabila anda ingin menutup ucapan, cuba datangkan kesimpulan yang lengkap terhadap apa yang anda sampaikan secara ringkas. Elakkan dari mengamalkan sindrom ‘susah nak berhenti’. Jangan sesekali mengulangi dengan ulangan yang banyak ungkapan ‘Akhirnya....’ dan sebagainya secara berulang-ulang. Apabila anda menyatakan anda ingin menghentikan ucapan, maka lakukan segera tanpa bertangguh-tangguh dan meleret-leret. Lebih baik anda menghentikan ucapan ketika pendengar masih asyik dengan apa yang anda sampaikan daripada anda berucap panjang lebar dalam keadaan pendengar sudah bosan dan melihat jam berulang kali!
..
Akhir kata, teori-teori yang saya paparkan ini bukanlah merupakan teori mutlak untuk berjaya. Apa yang penting ialah, semangat ingin mencuba dan istiqomah dengan semangat yang ada. Jangan sesekali lari dari tugas dan dan memilih untuk berada di belakang semata-mata kerana tidak mahu berkomunikasi di hadapan khalayak. Percayalah, orang penakut tidak akan berjaya selama-lamanya.
Sumber: Dipetik daripada sumber internet

Tiada ulasan:

Penjagaan kesihatan dengan kos yang optimum

. Dengan kemajuan penjagaan kesihatan dan rawatan yang semakin meningkat, kos penjagaan kesihatan juga turut meningkat.  . Tujuan pelan pe...