Selasa, September 01, 2009

Fahami Permintaan Pasaran Anda

Salah satu cara untuk memastikan yang anda sentiasa mempunyai jualan yang baik di dalam perniagaan anda adalah dengan cara memahami kehendak atau permintaan pasaran anda.

Permintaan pasaran akan bergantung kepada beberapa perkara utama iaitu:

1. Tragedi

2. Peristiwa Besar

3. Musim Perayaan

4. Bekalan

Keempat-empat perkara di atas memainkan peranan penting di dalam permintaan pasaran untuk sesuatu perniagaan.

Contoh tragedi adalah seperti semasa kematian ikon penyanyi terkenal di dunia iaitu Michael Jackson. Semasa berita kematian beliau tersebar ke seluruh dunia, dalam masa kurang daripada 24 jam, terdapat peningkatan jualan barangan yang berkaitan dengan Michael Jackson seperti CD, DVD dan aksesori di serata dunia. Penjualan barangan memorabilia Michael Jackson telah meletup-letup di eBay dan juga Amazon sehingga menduduki di antara tempat teratas barang jualan paling popular di kedua-dua portal jualan tersebut.

Peristiwa besar pula adalah berkaitan dengan sesuatu perkara besar yang berlaku di Malaysia ataupun di seluruh dunia seperti pelancaran Wayang Transformers 2 beberapa bulan yang lepas. Beberapa bulan sebelum wayang tersebut dilancarkan, sudah terdapat banyak permintaan untuk barangan yang berkaitan dengan wayang tersebut seperti permainan kanak-kanak, buku dan CD. Peristiwa besar yang berlaku ini akan membangkitkan perasaan minat dan keingingan untuk memiliki barangan yang berkaitan dengan peristiwa besar tersebut.

Sudah pasti anda sedia maklum mengenai permintaan pasaran semasa musim perayaan. Sebagai contoh, perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba pada bulan ini, akan mengalakkan permintaan untuk barangan yang berkaitan dengannya seperti kuih raya, kad raya, sampul raya, baju raya, lagu raya dan pelbagai perkara lain yang cuma akan popular semasa musim perayaan ini. Permintaan ini akan tamat sebaik sahaja musim perayaan ini tamat.

Berkenaan bekalan pula, permintaan akan meningkat apabila bekalan untuk sesuatu barangan popular adalah kurang. Ianya semudah itu. Jika anda mendengar berita mengenai kekurangan bekalan untuk sesuatu barangan popular di pasaran, maka sudah pasti permintaan untuk barangant ersebut akan meningkat. Contoh terbaik adalah semasa Apple iPhone baru dilancarkan di Malaysia satu ketika dahulu.

Pada masa itu, harga iPhone dipasaran telah meningkat dengan tinggi kerana kekurangan bekalan tetapi ramai yang ingin memilikinya. Sekiranya ada penjual yang mampu mendapatkan bekalan dan menjualnya, sudah tentu penjual tersebut akan mendapat keuntungan yang tinggi.

Sebagai seorang usahawan internet yang bijak, anda perlu peka terhadap perkara-perkara yang akan memberikan impak kepada permintaan pasaran anda kerana ia merupakan masa yang terbaik untuk menjana keuntungan yang banyak dalam masa yang singkat.

Ini bermaksud anda perlu sentiasa membaca suratkhabar, membaca berita terkini di internet dan juga menonton televisyen untuk mengetahui peristiwa terkini yang sedang berlaku di Malaysia dan juga di dunia. Dengan cara ini, anda akan dapat bertindak dengan lebih cepat dengan maklumat yang anda perolehi berbanding penjual-penjual lain yang lambat bertindak.

Sekiranya anda mampu memberikan apa yang diingini oleh pasaran, maka mereka akan berebut-rebut membayar anda untuk mendapatkan barangan yang mereka inginkan itu. Oleh itu, luangkan masa untuk memahami keadaan dan permintaan pasaran anda.

Sehingga berjumpa lagi di dalam artikel yang lain, salam hormat daripada saya.

Eruwan Gerry Norsen

Pakar Lelongan Online

www.RahsiaRajaLelong.com

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...