Thursday, June 20, 2013

Bengkel ternakan ruminan

Nordin Mat menunjukkan rumput fodder solution di ladang MTG di Sungai Pelek, Sepang. 
 
INDUSTRI ternakan ruminan khususnya kambing memerlukan suntikan baru yang termasuk penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran.
Konsep baharu itu mestilah mengoptimumkan penggunaan tenaga buruh dan kawasan ladang memandangkan pergantungan selamanya kepada kedua-dua modal tersebut kini tidak lagi signifikan.

Satu daripada konsep yang sesuai dan boleh diaplikasikan kini ialah penternakan moden menggunakan sistem fodder solutions yang diperkenalkan oleh syarikat ternakan tempatan, Major Transglobal Sdn. Bhd (MTG).

Pengarah Eksekutif, MTG, Nordin Mat, berkata, syarikatnya memperkenalkan konsep ladang bagi keluasan seekar tanah yang boleh menampung sehingga 1,500 ekor kambing.

''Konsep ini menggunakan rumput fodder sebagai makanan kambing yang mana seorang pekerja boleh menjaga 400 ekor kambing,'' katanya.

Sehubungan itu kata beliau, mereka yang berminat masih berpeluang menyertai Bengkel Ternakan Ruminan MTG - Utusan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada 28 hingga 30 Jun ini.

Bengkel tersebut yang menawarkan tempat kepada 150 peserta sahaja akan diadakan di Banghuris Homestay Sepang yang akan diisi dengan pelbagai latihan amali termasuk demonstrasi pengendalian dan merawat kambing selain menyembelih serta melapah.

Peserta juga berpeluang mendapat bimbingan memproses kaki dan kepala kambing untuk dijadikan sup, membuat kambing panggang, cara-cara memproses kulit kambing serta menghasilkan baja organik daripada tinja.
''Peserta juga berpeluang berdialog dengan penternak berpengalaman dan mendapatkan panduan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan ternakan kambing," kata Nordin.

Mereka yang berminat boleh mengisi borang yang disediakan.

No comments: