Ahad, Jun 09, 2013

Hasilkan rayon daripada kenaf



Penghasilan bahan yang dikenali sebagai rayon daripada tumbuhan untuk menghasilkan pakaian kini dilihat mampu mengimbangi permintaan terhadap pengeluaran kapas.

Tambahan pula jika bahan untuk membuat pakaian tersebut dihasilkan menerusi tumbuhan lain seperti kenaf (hibiscus cannabinus).

Kenaf yang sebelum ini digunakan untuk menghasilkan produk berasaskan fiber kini boleh diolah untuk menghasilkan rayon sebagai bahan untuk menghasilkan pakaian.

Pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Rushdan Ibrahim berkata, kajian yang dilakukan oleh kumpulan beliau mendapati rayon boleh dihasilkan daripada kenaf.

Jelasnya, tujuan kajian tersebut untuk mempelbagaikan produk berasaskan kenaf.

"Menerusi penemuan terbaru ini, industri kenaf dapat dijana dengan lebih baik di samping pelbagai produk sampingan juga dapat dihasilkan.

"Antara industri yang turut mendapat kelebihan daripada kajian ini adalah industri tekstil negara," ujarnya.

Penghasilan rayon kenaf bermula daripada batang kenaf yang dihancurkan menjadi cip seterusnya kepada partikel yang lebih kecil sebelum dihancurkan sehingga halus.

Dalam proses penghasilan seterusnya adalah pempulpaan-bio dan pemutihan-bio (bio-pulping and bio-bleaching), kemudian pelarutan pulpa, kemudian pengakalian sehingga menjadi rayon.

Menurut Dr. Rushdan, dalam proses pengalkalian, pulpa akan menyerap soda (alkali) dan akan berlaku penerapan (penetration) uniform alkali dalam selulosa.

Kemudian proses shreeding yang mana permukaan pulpa menjadi lebih luas dan seterusnya melaksanakan proses pemeraman (aging) selama 20 jam pada kadar suhu 30 darjah.

Seterusnya proses mencairkan pulpa mengunakan sebatian carbon disulfate (NaOH) kepada fiber berbentuk cecair dan ditapis sebelum melalui proses putaran (spinning bath).

Menerusi proses itu, filamen rayon bersaiz 0.07 milimeter akan terhasil dan boleh dipintal untuk dijadikan benang.

Menerusi benang yang dipintal daripada filamen rayon tersebut pelbagai produk berasaskan fabrik dapat dihasilkan.

Antaranya adalah kain rayon atau dicampurkan bersama benang yang berasaskan kapas, produk karbon fiber untuk kegunaan komponen kapal terbang atau kereta yang berasaskan fiber.

Antara produk lain yang memerlukan fiber rayon adalah tayar, alatan pembedahan, pihak industri serta sutera tiruan.

Jelas Dr. Rushdan, sutera tiruan yang dihasilkan menerusi rayon tersebut mampu mengurangkan kos namun memiliki kualiti yang baik.

Telah dikomersialkan menerusi syarikat Rain Tree Index Sdn. Bhd., kos untuk tujuan tersebut adalah sekitar RM1.53 juta yang mana dana dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai salah sebuah komponen kolaborasi teknikal kepada FRIM.

Ciptaan rayon daripada kenaf tersebut berjaya merangkul tiga anugerah. Antaranya adalah pingat emas bagi Pertandingan Inovasi FRIM 2010 kategori produk, pingat perak bagi Pertandingan Reka cipta 2011 katogeri proses dan juga pingat perak di pameran Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012.

Ditanya sasaran industri bagi mengkomersialkan produk rayon tersebut, Dr. Rushdan berpendapat produk tersebut sesuai dibangunkan oleh pihak industri tekstil negara. -Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...