Tuesday, May 11, 2010

Agrobiodiversiti seimbang alam sekitar

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
.
SEMUA menyedari negara merupakan salah satu daripada 12 buah negara yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Kepelbagaian biologi pertanian atau agrobiodiversiti telah lama membekalkan manusia dengan makanan, bahan binaan dan tenaga.

Bagi memulihara agrobiodiversiti, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengumpulkan sumber genetik secara in situ dan ex situ.

Manakala pencirian, penilaian, eksploitasi dan penggunaan sumber genetik secara mapan giat dijalankan.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, MARDI, Dr. Salma Idris berkata, pengumpulan dan pemuliharaan agrobiodiversiti amat penting kerana ia memainkan peranan dalam ekonomi, teknologi dan sosial.

Misalnya agrobiodiversiti buah-buahan liar seperti kuini dan tampoi belum dimanfaatkan sepenuhnya.

"Biasanya kuini dikaitkan dengan rasa masam dan sabut tetapi pencirian sumber genetik dijalankan bagi mendapatkan varieti terbaik," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Pemuliharaan agrobiodiversiti amat penting dimanfaatkan secara lestari kerana sumber genetik negara sedang menghadapi masalah serius kerana

1. pembangunan pesat seperti pembalakan, pembukaan tanah pertanian dan pembinaan empangan

2. hakisan genetik tidak terkawal menyebabkan kehilangan spesies

3. penanaman varieti baru

"Eksploitasi sumber genetik mensasarkan spesies yang mempunyai nilai pemakanan tinggi.

"Manakala ekstrak terus sumber genetik boleh menghasilkan bahan kimia bagi pelbagai industri," katanya.

Pemilihan spesies sesuai boleh digunakan untuk seni taman, agropelancongan dan ekopelancongan.

Justeru MARDI telah membangunkan Gen Bank Biji Benih dan Bank Gen Ladang.

Bank Gen Biji Benih menyimpan biji benih padi dan sayuran di Stesen Seberang Perai yang beroperasi sejak 1980an.

Bank Gen Ladang pula mengumpulkan janaplasma buah-buahan komprehensif seperti durian, mangga, rambutan, cempedak serta buah-buahan eksotik.

Selain tanaman komprehensif dan eksotik terdapat 150 spesies buah-buahan nadir dan liar dipelihara bagi tujuan pembiakbakaan.

Dr. Salma berkata, usaha pengumpulan komprehensif dijalankan oleh MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak bagi mengumpul sayuran tradisional dan varieti tempatan.

"Spesimen hidup dipelihara di Bank Gen Ladang di Serdang, Jerangau dan Seberang Perai manakala biji benih disimpan di Bank Gen Biji Benih di Seberang Perai dan simpanan jangka panjang di Serdang, Selangor.

Selain tanaman, agrobiodiversiti juga melibatkan fauna seperti makhluk perosak, musuh semulajadi serta cara menanganinya.

Dalam alam semulajadi, keseimbangan ekologi membolehkan mangsa serta pemangsa tinggal dalam keadaan harmoni.

Berbalik kepada keseimbangan ekologi, saintis menggunakan pendekatan kawalan biologi bagi mengawal populasi perosak.

Pegawai Penyelidik pusat yang sama, Dr. Mohamed Rani Mat Yusoh berkata, kawalan biologi merupakan kaedah mengawal makhluk perosak menggunakan musuh semulajadi.

"Agen biologi biasanya terdiri daripada parasitoid, pemangsa dan patogen, merupakan salah satu kaedah kawalan tertua dan paling berjaya mengurangkan populasi serangga perosak," katanya.

Pemuliharaan agen kawalan biologi merupakan tunggak utama dalam pengurusan perosak bersepadu (IPM) sejak 1950an.

Dr. Rani menambah tumbuhan ubatan seperti Tongkat Ali atau Eurycoma longifolia Jack merupakan tumbuhan ubatan yang digunakan secara meluas sebagai ubat tradisional.

"Permintaan tinggi menyebabkannya ditanam dalam skala besar bagi memastikan hasil berterusan," katanya.

Bagaimanapun penanaman monokultur menyebabkan masalah perosak seperti rama-rama harimau menyerang hampir 90 peratus ladang.

Kawalan kimia memberikan penyelesaian bersifat sementara manakala biopestisid mikrob lebih berkesan tetapi penggunaannya terhad.

Kini terdapat empat spesies serangga dan satu spesies agas dikenalpasti sebagai musuh semulajadi rama-rama harimau.

Sementara itu Pegawai Penyelidik di pusat yang sama, Siti Noor Aishikin Abdul Hamid berkata, selain musuh semulajadi pihaknya membangunkan biopestisid bagi mengawal serangga perosak.

Biopestisid merupakan pestisid yang menggunakan bahan semulajadi sebagai bahan utama.

"Terdapat enam jenis biopestisid iaitu berasaskan mikrobial, agriantibiotik, botanikal, biokimia musuh semulajadi dan tumbuhan yang dimasukkan gen pelindung atau organisma yang diubahsuai secara genetik," katanya.

Biopestisid lebih baik berbanding racun kimia kerana kurang toksik dan lebih selamat kerana bertindak ke atas perosak spesifik dan tidak membunuh organisma bermanfaat.

Bahan berkenaan juga bertindak dengan efektif walaupun dengan amaun sedikit, mudah terurai dan mengurangkan risiko pencemaran.

Dalam penyelidikan biopestisid, perkongsian dan pertukaran maklumat serta teknologi terkini amat penting.

Semua ini bakal dikumpulkan dan dibentangkan oleh penyelidik secara efektif semasa Persidangan Kebangsaan Kedua Pemuliharaan Agro-Biodiversiti dan Penggunaan Mampan yang diadakan di Tawau Sabah bermula 11 hingga 13 Mei ini.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.mardi.gov.my atau mendail 03-89437827/7572.
.
sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: