Wednesday, May 19, 2010

Syabas Kosmo!

“TAHNIAH Kosmo!.” Itu perkataan yang terpacul dari mulut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas kejayaan penganjuran Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang berakhir di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya petang Ahad lalu.
.
Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kosmo! bertindak sebagai rakan pelaksana itu diadakan selama tiga hari bersempena sambutan Hari Belia Negara 2010.
.
“Dalam masa tiga minggu saja, lebih 1,000 pasukan memohon untuk menyertai Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! ini. Penganjur hanya boleh terima 700 pasukan saja pada mulanya.
.
“Tetapi disebabkan sambutan luar biasa, terpaksa pula dibuka kategori baru iaitu Lelaki Larut Malam dengan tambahan 384 lagi pasukan menjadikan kejohanan itu berlangsung 60 jam tanpa henti,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Pengundian Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 di Dewan Perdana Felda pagi semalam.
.
Jelas Shabery, Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang menawarkan hadiah wang keseluruhan berjumlah RM88,950 itu berjaya mengumpul 11,000 pemain tidak termasuk para penyokong dan ahli keluarga mereka.
.
“Jadi dengan acara-acara lain yang turut berlangsung pada Hari Belia Negara 2010, kita dapat lihat golongan belia telah menakluki Putrajaya sepanjang hujung minggu lalu.
.
“Untuk sambutan tahun depan, saya mahu cadangkan slogan berbunyi seperti ini. ‘Sekiranya anda rasa anda tidak muda, jangan datang ke Putrajaya,” katanya sambil berseloroh.
.
Shabery turut memberitahu, projek KBS untuk membina dua gelanggang futsal bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara hampir selesai.
.
“Daripada 1,200 gelanggang futsal tersebut, sebanyak 800 gelanggang sudah pun siap. Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang hampir siap sepenuhnya iaitu 72 gelanggang mereka sudah siap.
.
“Kesannya, kegiatan mat rempit di negeri tersebut telah turun mendadak kerana mereka kini lebih berminat menonton orang bermain futsal di gelanggang-gelanggang tersebut yang disediakan kemudahan lampu,” katanya.
.
sumber: Kosmo! online

No comments: