Thursday, May 06, 2010

Lebih ramai gemar bekerja sendiri - Kajian

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kemelesetan ekonomi Malaysia telah menyaksikan kelahiran generasi baru usahawan tempatan dengan seorang daripada enam responden menganggap diri mereka sebagai 'bekerja sendiri'.
.
Hasil itu adalah sebahagian daripada Indeks Tenaga Kerja Global Kelly, yang mendapatkan pandangan kira-kira 134,000 kakitangan, termasuk 2,000 di Malaysia.
.
Tinjau selidik itu juga mendapati hampir separuh daripada responden mahu memulakan perniagaan mereka sendiri, dengan golongan Gen Y yang berusia 18 hingga 29 tahun lebih berminat memulakan perusahaan komersial.
.
Pengarah Urusan Kelly Services Malaysia, Melissa Norman menjelaskan, ramai di antara mereka yang kehilangan kerja akibat krisis ekonomi global kini bertukar menjadi kontraktor dan pekerja bebas serta perunding.
.
Hari ini, lebih ramai orang ingin menentukan jalan kerjaya mereka sendiri dan menganggap bekerja sendiri sebagai cara untuk mencapai kejayaan peribadi dan profesional.
.
Hasil tinjau selidik di Malaysia mendedahkan sebanyak 17 peratus daripada responden kini bekerja sendiri.
.
Minat terhadap pekerjaan sendiri adalah seiring dengan trend ke arah penggunaan sumber luar bagi menjalankan fungsi bukan teras yang menyaksikan banyak organisasi mengurangkan tenaga kerja tetap, mewujudkan peluang baru bagi kontraktor bebas.
.
''Apabila dilihat dari segi perspektif generasi, terdapat kecenderungan bagi pekerja muda untuk menunjukkan lebih minat berbanding pekerja yang lebih tua untuk melaksanakan kerja yang fleksibel dan bersifat keusahawanan,'' menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
.
Industri yang melibatkan kumpulan pekerja sendiri paling besar ialah pendidikan, pelancongan dan riadah, perkhidmatan perniagaan dan kejuruteraan.
.
Kelly Service berkata, hasil tinjau selidik turut menunjukkan semakin ramai orang terlibat atau merancang untuk menceburi satu bentuk aktiviti keusahawanan.
.
Walaupun menghadapi ketidakpastian, idea untuk keluar daripada kepompong pekerjaan makan gaji biasa menjadi daya tarikan bagi mereka yang mahukan kebebasan apabila bekerja sendiri, tambah Norman.
.
sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: