Wednesday, May 12, 2010

Konsep pemilikan dalam Islam

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
.
ISLAM tidak pernah menyekat dan menghalang manusia dari memenuhi tuntutan naluri dan fitrah mereka. Malah Islam mendidik cara yang betul bagaimana tuntutan naluri tersebut boleh dipenuhi.
.
Dalam Islam, pemilikan mutlak adalah hak Allah SWT. Manusia hanya 'meminjam' daripada Allah untuk membantunya mengabdikan diri kepadaNya.
.
Dalam hal pemilikan, selain berkaitan dengan persoalan keagamaan ada dua pihak diiktiraf oleh syarak yang boleh menerima pemilikan.
.
Pertama, Syakhsiyah tobi'iyyah ataupun manusia itu sendiri. Seseorang individu itu boleh memiliki harta kerana mereka diciptakan oleh Allah mempunyai keupayaan untuk memiliki dan mengawal harta berkenaan.
.
Di samping itu, ia juga mempunyai kebolehan memindahkan harta di bawah pemilikannya kepada pihak lain.
.
Pihak yang kedua pula adalah Syakhsiyah i'tibariyyah seperti syarikat dan institusi. Fiqh Islam telah mengiktiraf institusi-institusi seperti yayasan, pertubuhan, syarikat, masjid sebagai mempunyai keperibadian yang menyerupai manusia dari sudut keahlian untuk memiliki, sabitan hak dan melaksanakan kewajipan.
.
Maka dibolehkan institusi-institusi berkenaan memiliki harta dan kawalan terhadap harta tersebut diwakili oleh individu tertentu.
.
Baitul Mal boleh mewarisi harta bagi orang yang tidak mempunyai waris, kadi tidak perlu membayar diat jika berlaku kesilapan dalam keputusannya terhadap kes-kes yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT kerana beliau mewakili ummah dan sebagainya.
.
Namun untuk mengawal berlakunya penyelewengan dalam konteks ini, perlu ada kumpulan individu yang amanah dan berilmu menguruskan institusi berkenaan. Terutama dalam membuat keputusan membabitkan pihak pengurusan, pihak lembaga pengarah, pemegang amanah dan sebagainya.
.
Maka institusi juga boleh memindahkan hak milik dan mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
.
Konsep ini secara umumnya diterima oleh semua fuqaha. Untuk lebih memahami konsep ini, sebagai contoh dalam sistem takaful, tabung atau dana tabarruk boleh dianggap sebagai Syakhsiyah I'tibariyyah.
.
Tabung berkenaan bertujuan mengumpul sumbangan derma daripada setiap peserta takaful bagi membantu peserta yang ditimpa musibah.
.
Pengendali takaful pula bertindak sebagai pemegang amanah menguruskan tabung berkenaan.
.
Dari sudut konsepnya, tabung berkenaan mempunyai hak sebagai Syakhsiyah i'tibariyyah kerana ia berhak memiliki dan menunaikan kewajipan mengikut syarat-syarat dan terma yang telah dipersetujui.
.
Milik atau pemilikan adalah hubungan manusia dengan harta yang diakui oleh syarak. Di mana harta itu dikhususkan kepada seseorang manusia dan membenarkannya untuk mentadbir harta tersebut mengikut kehendaknya selagi tidak bercanggah dengan syarak.
.
Dari segi bahasa, 'milik' adalah pemilikan harta oleh manusia dan penguasaannya ke atas harta itu. Bererti, dia sahaja yang mempunyai kuasa dalam mentadbirnya. Ahli-ahli fiqh secara umumnya memberi definisi berbeza tentang harta.
.
Namun, semuanya mempunyai kandungan maksud yang sama dan tidak mempunyai perbezaan yang ketara (al-Zuhayliyy 2002 :4 /57).
.
Islam bukan sahaja mengiktiraf hak setiap pemilik harta menikmati faedah daripada harta kepunyaannya. Malah mengiktiraf hak pemilik itu menguruskannya semasa hidup dan sesudah meninggal dunia.
.
Mengikut perspektif Islam, individu atau institusi hanya layak memiliki harta dengan cara dan kaedah yang diharuskan oleh syariah sahaja. Ia seperti dengan cara belian, sedekah, hadiah, warisan dan sebagainya.
.
Contohnya, seorang pelanggan yang membayar duit membeli sesuatu barangan, berhak mendapat barangan tersebut setelah membayarnya. Maka barang yang diperolehi itu menjadi miliknya, walaupun pada peringkat awal berada di bawah milikan si penjual.
.
Individu tersebut juga berhak dan layak memiliki sesuatu dengan cara usaha (kasb), tanpa melibatkan modal dan pembelian. Contohnya, ejen takaful yang berusaha mendapat pelanggan berhak mendapat komisen sebagai upah di atas kerja yang dilakukan.
.
Atas usahanya mempromosikan produk, menyampaikan mesej syarikat dan memberi khidmat kepada peserta, maka dia layak mendapat komisen.
.
Dalam kontrak mudharabah, seorang pekerja (mudharib) layak mendapat sebahagian keuntungan perniagaan yang dilakukan walaupun dia tidak mengeluarkan modal.
.
Sebaliknya, Islam tidak mengiktiraf pemilikan harta oleh individu dengan menggunakan harta yang haram walaupun ia sudah berada dalam tangannya atau di bawah jagaannya.
.
Islam juga tidak mengiktiraf pemilikan yang terhasil daripada cara haram seperti melalui perjudian, pelacuran, riba, rasuah dan sebagainya.
.
Malahan, jika harta itu didermakan atau disedekahkan, ia tidak akan diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim, 3/85 ).
.
Maka apabila seseorang itu memiliki harta yang haram, haram baginya mengambil manfaat daripada harta tersebut. Dia hendaklah melupuskan harta haram berkenaan sebagaimana yang digagaskan oleh syariah.
.
Namun, Allah SWT maha pengampun lagi maha penyayang. Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-Nya untuk bertaubat.
.
Pemilik harta haram yang ingin bertaubat perlu melupuskan harta berkenaan sebagai salah satu syarat untuk bertaubat.
.
Cara terbaik adalah memulangkan harta itu kepada tuannya. Jika tuannya sudah meninggal dunia, maka perlulah diserahkan kepada warisnya.
.
Jika tidak diketahui atau gagal menemuinya, maka bolehlah diserahkan kepada fakir miskin. Namun, derma dan sumbangannya kepada fakir miskin itu tidak mendatangkan sebarang pahala daripada Allah SWT. Sebaliknya, ia hanya satu kaedah yang wajib dilakukan untuk bertaubat.
.
Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)". (riwayat al-Hakim)
.
sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: