BERMULA hanya seekor lembu tenusu, kini Hijasi Abdullah, 60, berbangga dengan projek ternakannya yang berkonsepkan - dari ladang terus meja makan.
Lembu tenusu yang dinamakan Baby yang dibeli lebih 20 tahun lalu, tanpa diduga telah merintis jalan lebih luas dengan prospek projek ternakannya yang kini menampakkan sinar kejayaan.
Kejayaan itu pula telah membuka lembaran baru bagi Hijasi, isterinya Siti Umaiyah Kassim, 54 serta anak-anak beliau dalam mengubah nasib mereka.
Masakan tidak, ketika itu, Hijasi yang bekerja sebagai pemandu lori tangki bersama-sama isteri dan dibantu anak-anak hanya memelihara dan menjual susu lembu.
Bagaimanapun, susu lembu yang sukar mencapai piawaian akibat kekurangan kawasan ragut menyebabkan keluarga ini menjadi penjual daging lembu di pasar tani di Shah Alam, Selangor.
Pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) boleh disifatkan sebagai langkah permulaan bagi membangunkan ekonomi keluarga Hijasi.
“Selepas lembu tenusu sukar mendapatkan pulangan balik, kami mula membeli lembu dan memelihara secara fidlot sebelum menyembelih dan menjualnya selepas dipelihara selama 60 hingga 90 hari,” kata anak Hijasi yang kini menguruskan Perniagaan Hijasi Enterprise, Akmaluddin Hijasi atau lebih mesra dengan panggilan Amal.
Amal berkata, seekor lembu makan rumput dan palet dalam nisbah 1:1 dan biasanya seekor lembu memakan 10 hingga 12 kilogram palet sehari bagi tempoh 30 hingga 60 hari.
Makanan lembu akan bertambah selepas tempoh berkenaan dan kos akan meningkat jika terus dipelihara.
Lembu yang dipelihara dipastikan mendapat makanan secukupnya selain dimandikan dua kali sehari bagi memastikan ternakan bersih dan tidak terdedah kepada sebarang jangkitan.
“Bagaimanapun apabila terdapat jangkitan, kami terpaksa membeli ubatan yang menelan kos tinggi melebihi RM5,000 bagi satu-satu musim,” katanya.
Amal berkata, biasanya lembu disembelih dua kali seminggu pada Rabu dan Sabtu bagi mendapatkan berat daging lebih satu tan bagi jualan di pasar tani dan agrobazaar di Shah Alam.
“Kami menjual daging dan kadang kala tulang yang kurang mendapat sambutan kami buat sup untuk makan sendiri.
“Memikirkan tulang lembu yang banyak, emak membuat sup dan mempromosikan sup gearbox di pasar tani Shah Alam sebelum kami menjualnya,” katanya.
Kini sup gearbox Perniagaan Hijasi telah menjadi sebagai satu hidangan istimewa di pasar tani Shah Alam.
Menjelang musim perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Korban merupakan waktu paling sibuk bagi keluarga berkenaan.
Kini di tanah seluas dua ekar di Rantau Panjang, Klang, Selangor terdapat lebih 100 ekor lembu dan kambing yang sedia untuk tujuan korban dan akikah.
“Kebanyakan lembu dan kambing di sini telah ditempah oleh pelanggan tetap kami,” katanya sambil menunjukkan ke arah kandang yang penuh dengan lembu dan kambing.
Jika dulu, Amal membeli lembu dari syarikat swasta tetapi kini tugasnya lebih mudah apabila FAMA membantu membekalkan lembu bagi tujuan fidlot.
Bagaimanapun dulu Amal yang cerewet memilih lembu menyebabkan kadang-kala beliau pulang dengan tangan kosong dari tempat penjualan lembu.
“Saya pastikan lembu yang dibeli sihat dan sempurna sebab ini penting bagi kepuasan pelanggan terutama bagi korban dan akikah,” katanya.
Biasanya menjelang musim perayaan lembu-lembunya habis ditempah oleh pelanggan yang kebanyakannya telah menjadi pelanggan tetapnya.
Amal berkata, bagi mengurangkan kos makanan, pihaknya menanam rumput napier di tanah seluas tujuh ekar.
Tidak hanya bergantung semata-mata kepada lembu fidlot, Amal mempunyai ladang di Slim River, Perak bagi menempatkan lembu-lembu untuk tujuan pembiak bakaan.
Selain itu keluarga berkenaan juga mengusahakan ternakan biri-biri, tanaman pisang tanduk dan sawit.
Malah sebagai perusahaan keluarga, Hijasi dan Amal sentiasa berusaha mengembangkan perniagaannya.
Misalnya bagi tujuan korban dan akikah, mereka menyediakan perkhidmatan sembelihan dan katering bagi pelanggan.
“Malah pelanggan juga boleh memilih masakan sesuai dengan selera masing-masing dan terus membawa hidangan terus ke rumah,” katanya.
Selain itu Amal juga menyediakan hidangan kambing golek bagi jamuan dengan harga yang berpatutan.
Pihaknya juga menyediakan perkhidmatan sajian makanan bagi majlis perkahwinan atau kenduri kesyukuran dalam pelbagai pakej.
Walaupun menjalankan perniagaan keluarga, Amal tidak mengabaikan kebajikan pekerjanya.
“Mengambil iktibar semasa bapa menghidap sakit jantung, saya mengambil polisi insurans bagi semua ahli keluarga dan juga pekerja.
“Ini juga sebagai salah satu cara kami menghargai hampir 30 orang pekerja termasuk ahli keluarga,” katanya.
Amal berkata, pekerjanya yang bertungkus-lumus membantu membangunkan perniagaannya perlu diberi penghargaan yang sewajarnya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Perniagaan Hijasi Enterprise boleh menghubungi 03-3291 1084 atau Amal di 012-6759760 atau 012-642 1084.
sumber : Utusan Malaysia Online
2 comments:
bagus tu
Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.
pengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.
Post a Comment