Jumaat, November 26, 2010

Syarikat milik bumiputera hasilkan santan daripada kelapa sawit

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Masalah kekurangan santan kelapa di pasaran kini boleh diatasi dengan penggunaan santan kelapa sawit sebagai alternatif baru dalam masakan.

Ia berikutan kejayaan sebuah syarikat milik bumiputera, Premium Food Corporation Sdn. Bhd. menghasilkan santan daripada kelapa sawit selepas menjalankan penyelidikan sendiri bagi menilai dan mengenal pasti keupayaan komoditi itu untuk diproses menjadi santan.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, idea untuk mengusahakan santan kelapa sawit tercetus selepas beliau mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Pengalaman 10 tahun bersama syarikat pengeluar makanan bertaraf antarabangsa, Nestle dan beberapa tahun dalam bidang perhotelan sedikit sebanyak membantu saya dalam menghasilkan produk ini.

"Syarikat saya yang mula beroperasi sejak hujung Ogos lalu kini dalam proses untuk memasar dan mengembangkan produk ini ke seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Jasri, buat masa ini, produk keluaran syarikatnya sudah berjaya menembusi beberapa pasar raya di negara ini.

"Produk ini yang berjenama 'Khalis' boleh didapati di 15 buah cawangan pasar raya besar Giant, lima cawangan pasar raya Bintang serta tiga cawangan pasar raya Mydin sekitar Lembah Kelang.

"Kami juga kini mempunyai rangkaian pengedar di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Perak dan Pahang," ujar beliau.

Jelas Jasri, minyak daripada kelapa sawit dicampurkan dengan bahan tertentu untuk diproses menjadi santan yang warnanya sama seperti santan kelapa.

Menurutnya, santan kelapa sawit sebenarnya lebih sedap dan menyihatkan, mengandungi nutrien yang tinggi, rendah lemak serta tiada kolestrol.

"Santan ini juga tidak mudah rosak dan sesuai digunakan untuk semua jenis masakan termasuk bubur dan minuman cendol serta air bandung. Sekiranya ia disimpan di bawah suhu lima darjah celsius, jangka hayat santan ini boleh mencapai tiga bulan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai santan kelapa sawit boleh mengunjungi gerai bernombor B187-B204 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) yang bermula esok sehingga 5 Disember depan di Serdang dekat sini.

Selain itu, mereka juga boleh melayari laman web www.khalissantan.com atau menghubungi talian 03-89428360 untuk tujuan sama.

sumber : Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung