Saturday, November 20, 2010

Promosi Jenama 1Malaysia Best


Pelbagai jenis biskut yang membawa jenama 1Malaysia Best.


NEGERI Johor merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai pengusaha-pengusaha industri kecil sederhana (IKS) yang semakin hari semakin bertambah dengan pelbagai produk yang mempunyai kualiti untuk dipasarkan ke pasaran tempatan juga global.

Bagaimanapun rata-rata mereka didapati tidak mempunyai Sijil Halal dan Kesihatan bagi membolehkan produk mereka berada di pasaran global.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor, Faridulatrash Md. Mokri berkata, 70 peratus daripada kira-kira 3,000 pengusaha IKS yang mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan Negeri Johor tidak mempunyai Sijil Halal dan Kesihatan.

Tambahnya, ini menyebabkan produk mereka sukar untuk dipasarkan ke peringkat yang lebih jauh.

Produk berkenaan pula hanya dapat dipasarkan di pasaran yang agak terhad seperti di sekitar negeri Johor sahaja sedangkan produk mereka berpotensi untuk dihantar ke pasaran luar.

Beliau berkata, Johor merupakan negeri yang mempunyai paling ramai pengusaha IKS dan jumlahnya bertambah setiap tahun tetapi tidak ramai yang mempunyai Sijil Halal serta kesihatan juga premis perusahaan yang tidak mengikuti Amalan Pengilangan Baik (GMP).

''Apa yang kita perhatikan ialah kesemua produk mereka berpotensi untuk ke pasaran luar tetapi sekiranya tiada Sijil Halal amatlah sukar untuk dipasarkan," ujarnya.

FAMA melalui penjenamaan baru iaitu 1 Malaysia Best katanya bersedia dan akan bertanggungjawab memasarkan produk-produk pengusaha IKS yang berdaftar dengan agensi tersebut.

Bagaimanapun setiap pengusaha mestilah mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai Sijil Halal dan Sijil Kesihatan serta GMP.

Jenama 1Malaysia Best yang telah bermula Mac lalu katanya, akan memasarkan produk-produk pengusaha IKS ke luar negara dan setakat ini seramai 110 pengusaha telah mendaftar dan tujuh daripadanya adalah dari negeri Johor.

Malaysia Best merupakan satu Perakuan Jenama (Endorsement Brand) yang melambangkan identiti Malaysia untuk meningkatkan jualan dan profil produk-produk berasaskan pertanian di pasaran tempatan dan global.

Jenama berkenaan merupakan lambang, pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) dalam menjamin keselamatan dan kualiti produk ke pasaran tempatan dan global.

Kriteria keselamatan dan kualiti produk ditentukan dengan berpandukan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan pengiktirafan Halal Malaysia.

Jenama 1Malaysia Best merupakan satu mekanisme yang unik dalam membina kekuatan untuk berdaya saing di pasaran global melalui sistem jaminan keselamatan dan kualiti produk.

Baru-baru ini beliau telah melawat dua pengusaha IKS yang telah mempunyai sijil pengesahan Halal, kesihatan dan GMP di Batu Pahat yang telah berdaftar dengan FAMA dan 1Malaysia Best agar produk mereka dapat di pasarkan di peringkat tempatan dan global tanpa ragu.

Pemilik Patmah Cookies, Patmah Aspar, 49, melahirkan rasa teruja apabila telah mendaftar dengan 1 Malaysia Best kerana yakin produknya akan berjaya di pasarkan ke pasaran tempatan dan global tanpa masalah dan rasa ragu oleh pengguna.

Beliau yang telah berkecimpung dalam industri pembuatan kek dan biskut sejak dua puluh tahun lalu berkata setelah berdaftar dengan FAMA permintaan terhadap biskut keluaran syarikatnya semakin bertambah.

''Saya bermula secara kecil-kecilan dengan empat jenis biskut iaitu tart nenas, semprit, biskut kelapa dan almond london dan dijual kepada kawan-kawan serta penduduk setempat dengan modal hanya RM200 sahaja," ujar Patmah.

Bermula dari situ katanya, dia teruskan dan tingkatkan usaha untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti dan usaha gigihnya itu amat berbaloi.

Kini Patmah mampu menghasilkan pelbagai jenis kek, roti dan biskut serta mempunyai empat orang pekerja tetap dan dua buah premis perniagaan dan sebuah bengkel membuat biskut di Kampung Baru Parit Sulong, Batu Pahat Johor.

Sebanyak 10 jenis biskut, 39 jenis kek pelbagai kategori juga 32 jenis roti berjaya dikeluarkan oleh Patmah Cookies dan pasaran biskutnya kini memasuki negara luar seperti Singapura dan Brunei.

Tambahnya lagi, bila tiba musim perayaan dia terpaksa mengupah 80 pekerja yang terdiri daripada penduduk setempat bagi memenuhi permintaan yang diterima agar kesemua permintaan dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.

Beliau berharap dengan mendaftar di FAMA produknya juga akan terjamin daripada produk tiruan kerana terdapat produk di pasaran yang meniru produk keluaran syarikatnya dan yang pasti rasanya tidak sama seperti produknya yang asli.

Seorang lagi pengusaha yang telah mendapat sijil Halal dan GMP juga ISO 2000-2005 ialah pengusaha muda Mohd. Irwan Mohd. Dawam, 21, yang mewarisi perniagaan produk sejuk beku dari ayahnya Mohd. Dawam Shahri, 60.

Perniagaan keluarga itu telah beroperasi selama 15 tahun lalu dan telah didaftarkan dengan SSM sebagai MI & DA Frozen Food dengan 16 produk antaranya roti canai dan murtabak daging dan ayam segera, acar buah, karipap, samosa, popia, donut, kasturi, bertih jagung, tepung goreng ayam, rojak petis dan serunding.

Menurut Mohd. Irwan, buat masa ini produk mereka dijual terus kepada pelanggan melalui pasar lambak dan pasar tani sekitar daerah Batu Pahat, Muar dan sedang cuba untuk memasarkan produknya ke pasaran yang lebih luas.

Justeru mereka telah mendaftar dengan FAMA untuk menyertai 1Malaysia Best dengan harapan produk sejuk beku keluaran syarikatnya mampu menembusi pasaran tempatan dan global kerana semua syarat-syarat untuk menyertainya telah dipenuhi.

Ini kerana buat masa ini mereka mempunyai masalah untuk memasarkan produknya lebih jauh kerana tidak mempunyai lori khas bagi tujuan penghantaran menyebabkan banyak permintaan dari luar daerah Batu Pahat ditolak.

Dia juga sedang dalam merancang untuk memasarkan produknya ke pasar raya besar serta gedung membeli-belah di seluruh Malaysia.

sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: