Sunday, May 18, 2008

Menetapkan Matlamat Kewangan Yang S.M.A.R.T

Dalam merancang kewangan, perkara paling penting yang perlu dibuat ialah menetapkan matlamat kewangan.
..
Contoh matlamat kewangan ialah mengawal perbelanjaan supaya dapat melangsaikan pinjaman pelajaran atau membeli rumah dan kereta.
..
Tidak kira apa matlamat kewangan anda, pastikan ianya khusus, boleh diukur, boleh dicapai, relevan dan ada tempoh masa tertentu. Anda perlu mengenalpasti dan menentukan matlamat dengan jelas untuk merealisasikan matlamat kewangan yang ingin dicapai.
......
Matlamat kewangan yang hendak dibuat bergantung kepada pelbagai faktor seperti keinginan, umur, kedudukan kewangan dan minat anda.
Contoh matlamat kewangan:.
..
  • Mengawal wang anda supaya mempunyai lebihan setiap bulan.
  • Membayar hutang.
  • Mempunyai simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan.
  • Membeli rumah.
  • Membeli kereta.
  • Simpanan untuk persaraan.
  • Membeli barang-barang berharga seperti peralatan elektrik yang mahal.
  • Pergi bercuti; dan sebagainya.
....
Apa itu matlamat yang S.M.A.R.T?
..
Contoh:

Matlamat kewangan Johan
Menyimpan duit dalam masa 4 bulan untuk pergi bercuti di Pulau Redang yang menelan belanja sebanyak RM1,000. Oleh itu, Johan perlu menyimpan RM250 sebulan.
..

Adakah matlamat kewangan Johan S.M.A.R.T?
..

Specific (Khusus)..
Matlamat perlu khusus iaitu “untuk bercuti di Pulau Redang” – BUKAN sekadar ingin pergi bercuti, tetapi tidak khusus dimana tempatnya.
..
Measurable (Boleh diukur) ..
Matlamat perlulah boleh diukur iaitu dia memerlukan RM1,000 – BUKAN sekadar “perlukan duit”, tetapi tidak tahu jumlahnya.
..
Attainable (Boleh dicapai)
Matlamat mestilah boleh dicapai iaitu “mesti menyimpan RM250 sebulan” – BUKAN pula menunggu seseorang menghadiahkan anda hadiah percutian secara percuma.
.. ..

Realistic (Realistik & relevan)
Matlamat hendaklah realistik iaitu “hendak pergi ke Pulau redang dalam masa 4 bulan” – BUKAN hendak pergi ke London dalam masa sebulan tetapi cuma ada simpanan RM250 sebulan.
..
Time-bound (Mempunyai tempoh masa tertentu)
Matlamat perlulah mempunyai tempoh masa, contohnya “hendak pergi bercuti dalam masa 4 bulan” – BUKAN ketika anda ada duit tetapi tidak meletakkan sasaran masa yang jelas.
..
Matlamat kewangan boleh juga dikelaskan berdasarkan tempoh masa:
  • .. Matlamat Jangkamasa Pendek
Boleh dicapai dalam masa seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak lebih daripada setahun. Contohnya adalah membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk pergi bercuti.
  • ....Matlamat Jangkamasa Sederhana
Adalah matlamat yang boleh dicapai dalam masa setahun sehingga 5 tahun, seperti membeli kereta ataupun membayar hutang.
  • .... Matlamat Jangkamasa Panjang
Boleh dicapai dalam masa 5 tahun atau lebih, seperti membeli rumah dan mempunyai simpanan wang yang mencukupi untuk menghantar anak anda ke kolej atau universiti.
....
Anda mungkin mempunyai ketiga-tiga matlamat di atas, tetapi pastikan ianya realistik. Sasaran yang terlalu tinggi mungkin akan mengecewakan dan menyebabkan anda mengabaikan terus matlamat itu. Manakala itu, matlamat yang kabur pula tidak akan memotivasikan anda.
..
Matlamat yang tidak fleksibel pula sukar untuk dicapai terutamanya dalam keadaan terdesak. Biar apapun matlamat kewangan yang dibuat, pastikan anda mempunyai sedikit kelonggaran untuk membuat perubahan yang perlu.
..
Berikut ialah matlamat hidup saya:
..
"Aku berjaya menjadi jutawan dengan nilai aset bersih sebanyak RM1,000,000 pada tahun 2012. Seterusnya mencapai kebebasan kewangan lima tahun kemudian dan aktif menyumbang kepada kerja amal dan kebajikan untuk semua."
..
Ahmad Hanizam Abdullah
12 Mei 2007
..
Matlamat ini saya tuliskan dan ditampal di bilik tidur. Setiap hari saya bacanya sekurang-kurangnya 3 kali sehari.
..
Senaraikan matlamat mengikut keutamaan dan kepentingan untuk diri sendiri dan keluarga. Bagi merealisasikan impian anda, pastikan matlamat kewangan mengikut kaedah S.M.A.R.T. Selamat berjaya!

No comments: