Sunday, May 04, 2008

Risiko dan Ganjaran Sebagai Pelabur

Ada satu prinsip asas yang perlu anda ingat sebelum melaksanakan pelan kewangan. Prinsip itu ialah:
...
"Lebih tinggi pulangan daripada sesuatu pelaburan, lebih tinggi risikonya."
......
Ini merupakan prinsip penting pelaburan, keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait langsung dengan setiap keputusan pelaburan yang dibuat. Apabila membeli atau menjual sesuatu produk pelaburan, anda sentiasa menghadapi risiko kerugian. Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu produk dengan produk yang lain.
....
Amnya, produk yang menjanjikan pulangan paling banyak (seperti niaga hadapan, opsyen dan saham yang harga meningkat dengan cepat) merupakan pelaburan yang paling berisiko - jadi, makin banyak risiko yang anda ambil dengan pelaburan-pelaburan jenis ini, semakin besar kemungkinannya ganjaran yang bakal diterima juga besar. Tetapi, kemungkinan besar pula anda boleh hilang wang pelaburan anda. Begitulah sebaliknya dengan produk kewangan yang dianggap “selamat” seperti simpanan di bank dan bon yang memberi pulangan kecil dan mantap.
..
Kemungkinan wang anda hangus kecil sekali kerana pelaburan seperti ini mempunyai risiko rendah. Tetapi pulangannya juga rendah. Inilah yang dimaksudkan dengan perseimbangan antara risiko dan ganjaran.
....
Sebenarnya risiko sesuatu pelaburan itu bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam lain perkatan berapa banyak risiko yang anda sanggup terima. Risiko bermakna, mengambil sesuatu langkah yang tidak pasti iaitu tiada jaminan hasil langkah yang diambil itu akan memihak kepada anda.
..
Ketahanan menghadapi risiko diukur melalui penerimaan anda terhadap hasil daripada sesuatu pelaburan. Sama ada anda boleh mengambil risiko dan sampai ke tahap mana ketahanan anda, bergantung kepada kedudukan kewangan anda (ini merangkumi nilai bersih, pendapatan dan jangkaan hasil pendapatan pada masa hadapan), personaliti dan matlamat kewangan anda.
....
Hampir semua buku yang mengajar kita mengenai pelaburan pasti memasukkan kuiz profil risiko pelabur untuk membantu kita memastikan daya ketahanan terhadap risiko. Jawab ujian ini dan ketahuilah profil pelaburan anda: sama ada konservatif, sederhana atau agresif. Pelabur yang agresif akan mengambil risiko besar untuk mendapat keuntungan besar. Pelabur konservatif akan mencari pelaburan selamat dan berpuas hati dengan pelaburan yang membawa pendapatan mantap. Pelabur sederhana pula berada di tengah-tengah: dia mengambil sikap berhati-hati tetapi bersedia mengambil sedikit risiko untuk mendapat pulangan lebih baik.
....
Nak tahu ketahanan anda menghadapi risiko, tanya diri sendiri fasal tidur. Bolehkah anda melaburkan semua wang dalam sesuatu aset dan tetap dapat tidur nyenyak?
..
Jika tak boleh, bermakna pelaburan tersebut bukan untuk anda.

No comments: