Monday, May 19, 2008

Mengira Nilai Bersih Aset Anda

Hari ini saya akan terangkan cara-cara mengenal pasti nilai bersih aset anda. Untuk mengiranya, anda perlu memahami dua komponen penting dalam pengiraan nilai bersih iaitu aset dan liabiliti:
..
Apakah itu aset dan liabiliti?
..
Secara ringkasnya, aset ialah sesuatu yang anda miliki, sementara liabiliti pula ialah sesuatu yang anda tanggung.
..
Memahami Aset
Aset boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu aset pelaburan dan aset bukan pelaburan. Aset pelaburan ialah aset-aset yang menjana aliran tunai seperti dividen, keuntungan modal, sewaan dan pendapatan. Contoh-contoh aset pelaburan termasuklah akaun simpanan, simpanan tetap, saham, unit amanah, KWSP, pelaburan hartanah dan juga perniagaan anda.
..
Aset bukan pelaburan pula ialah aset yang tidak menjana aliran tunai. Contoh-contoh aset dalam kategori ini termasuklah rumah yang yang anda duduki, rumah percutian dan juga kereta anda. Walaupun aset-aset ini ‘perlu-dimiliki’ oleh setiap keluarga, malangnya ia tidak membantu menjana wang atau aliran tunai untuk anda.
..
Memahami Liabiliti
Seperti yang telah dinyatakan, liabiliti merupakan sesuatu yang anda tanggung. Ini merangkumi bil-bil yang belum dilangsaikan seperti kad kredit, pinjaman kereta dan pinjaman perumahan. Liabiliti boleh mengurangkan pendapatan anda dengan banyaknya. Untuk mencapai kebebasan kewangan, anda perlulah melangsaikan segala hutang anda secepat mungkin.
..
Sekiranya anda masih berhutang, anda terpaksa membayar faedah hutang tersebut. Lebih lama anda mengekalkan liabiliti anda, semakin berkuranganlah simpanan anda. Ini terjadi apabila anda gagal untuk menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding caj faedah yang perlu dibayar.
..
Memahami Nilai Bersih (Net Worth)
Nilai bersih ialah baki aset yang anda ada setelah melangsaikan kesemua liabiliti anda. Bagi pihak bank, nilai bersih anda ialah perbezaan diantara jumlah aset dan jumlah liabiliti. Walau bagaimanapun, untuk mencapai kebebasan kewangan, anda perlu memilik aset pelaburan yang mencukupi untuk menjana aliran tunai yang diperlukan bagi menyara keperluan harian dan gaya hidup anda.
..
Maka, nilai bersih anda dalam konteks kebebasan kewangan ialah perbezaan di antara aset pelaburan dan jumlah liabiliti anda.

No comments: