Saturday, December 11, 2010

10 ahli Pengasih jadi usahawan kebab

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Seramai 10 peserta yang terdiri daripada ahli Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dipilih menyertai Program Perniagaan Kiosk Kebab di bawah Program Pembangunan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, program yang dijalankan di bawah Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani itu dilaksanakan melalui konsep mentor-mentee dengan kerjasama Wan Malinja Food Industri Sdn. Bhd. (WMFI)

"Mereka yang terpilih diberikan bantuan sebanyak RM10,000 yang meliputi geran, latihan, peralatan, kiosk bergerak dan juga promosi.

"Ini membuktikan kesungguhan kerajaan membantu bekas penagih membina kehidupan baru dan saya berharap mereka dapat menggunakan peluang ini dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran kepada 10 penerima terlibat di hadapan tapak pameran Dewan B pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Perlancongan Malaysia (MAHA) 2010 dekat sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi dan Pengarah Urusan (WMFI), Zurawan Surip.

Dalam pada itu, Noh memberitahu, jika perniagaan kebab itu menunjukkan kejayaan, kementeriannya bercadang meneruskan lagi jalinan kerjasama dengan Pengasih bagi mencari ahli francais untuk membekalkan makanan sejuk beku yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Makanan sejuk beku yang diusahakan oleh MARDI mempunyai potensi sangat besar kerana ia mempunyai rasa seperti baru dimasak selepas dipanaskan.

"Oleh itu jika peserta Program Perniagaan Kiosk Kebab membuktikan mereka serius dan berjaya, saya tidak akan teragak-agak untuk menawarkan peluang menjadi pengedar makanan sejuk beku ini pula," katanya.

sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: