KUALA LUMPUR 2 Dis - Murtabak raja terkenal di Kelantan tetapi mungkin tidak ramai yang pernah mendengar nama dan berpeluang merasai keenakannya.
Bersaiz besar dan mempunyai inti yang banyak, ia sememangnya menjadi makanan yang cukup popular di kalangan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Bagi mengembangkan populariti makanan itu ke serata Malaysia, Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd, mengambil inisiatif menjadikannya sebagai produk sejuk beku yang mampu disimpan lama.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammed, sejak dilancarkan kira-kira enam bulan lalu, produk yang mempunyai ketebalan dua inci dan berat melebihi 600 gram itu nyata membawa pulangan memberangsangkan.
"Paling membanggakan, sewaktu kami menyertai Karnival 1Malaysia Best di Perth baru-baru ini, semua 300 kotak yang dibawa habis dijual dalam masa hanya dua hari.
"Maklum balas diterima juga menggalakkan. Ia kerana kami amat mementingkan kualiti dengan menggunakan 100 peratus daging lembu tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerainya di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) dekat sini hari ini.
Murtabak itu boleh dimiliki dalam tiga perisa iaitu sardin berperisa nanas, kari ayam dan daging lada hitam.
Sheikh Ahmad menambah, sempena MAHA 2010, pengunjung berpeluang membeli murtabak tersebut pada harga RM14 berbanding harga biasa RM16.
"Produk ini tidak dijual di mana-mana pasar raya dan ia hanya dijual melalui stokis kami di seluruh negara. Kami juga sedang mencari stokis baru dan jika ada yang berminat mereka boleh hubungi saya di talian 03-80622781," katanya.
sumber: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment