Khamis, Disember 16, 2010

KopieSatu jenama semakin popular

KOPI merupakan minuman yang dinikmati di seluruh dunia. Kenikmatan minuman ini dikongsi bersama oleh semua orang daripada pelbagai negara dan budaya.

Menurut edisi 2010 Laporan Statistik Kopi, minuman ini berada di belakang petroleum sebagai komoditi paling banyak di urusniaga di dunia, iaitu lebih kurang 400 bilion cawan diminum setiap tahun.

Minat terhadap kopi sudah menapak di Malaysia sejak sekian lama. Jenama kopi tempatan sudah lama memenuhi pasaran.

Namun kini, ia diperkuatkan lagi dengan kehadiran jenama-jenama antarabangsa selain kopitiam yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan.

Tarikan terhadap kopi kerana bau harum biji kopi yang baru digiling selepas direndang dengan dicampur gula, marjerin dan tepung.

Selepas itu, ia dibancuh menjadi kopi yang pekat dan dihidangkan dengan cawan-cawan tembikar.

Sementara warga desa dan peminat kopi veteran berpuas hati dengan keenakan kopi tanpa mengendahkan jenama di samping kurang memberi perhatian kepada persekitaran untuk menikmati kopi, penduduk bandar-bandar - khasnya golongan muda ada cita rasa tersendiri.

Mereka suka bergaya - beratur panjang di francais-francais kopi seperti San Francisco, Gloria Jeans, Starbucks, dan Coffee Bean, yang menawarkan pelbagai jenis kopi berjenama bersama pelbagai perisa eksotik.

Pelanggan mewah ini kini mempunyai satu pilihan jenama tempatan iaitu KopieSatu, satu adunan kopi premium istimewa yang cipta oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang semakin boleh dilihat di bistro dan kafe popular di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Bagaimana ia bermula?

Pada 1974, semasa industri kopi menghadapi kesukaran, FAMA membuka sebuah kilang kopi di Banting, Selangor, yang membawa harapan bagi penanam kopi di Kedah, Selangor dan Johor.

Kilang itu membeli kesemua biji kopi Liberica yang dikeluarkan oleh warga tempatan, bersama biji kopi Robusta yang dimport dari Indonesia dan memprosesnya menjadi serbuk kopi yang diedarkan ke kedai-kedai kopi di seluruh Semenanjung.

Operasinya kemudian diperluaskan dengan mengeluarkan uncang kopi Anggerik 3-in-1 menggunakan biji kopi robusta yang ditanam di Sabah dan Sarawak.

KopieSatu adalah hasil ilham mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mahu melihat satu jenama tempatan bersaing dengan tawaran kopi istimewa yang didominasi oleh francais asing di negara ini.

Kopi istimewa itu pula boleh dikatakan tidak berdasarkan adunan daripada sejenis biji kopi sahaja.

Amalan lazim ialah mengadun biji kopi berlainan yang berlawanan rasa untuk mendapatkan rasa yang lebih lembut.

Proses adunan, yang kini telah menjadi satu seni, mewujudkan rasa yang lebih hebat daripada setiap satu jenis kopi yang diadun itu.

“Walaupun biji Arabica adalah yang terbaik dan menawarkan rasa yang kaya dan berperisa tinggi, rahsia dalam menghasilkan rasa yang unik dan tersendiri bergantung kepada proses adunan dan teknik rendang”, kata Pengerusi Hab Operasi KopieSatu, Shikh Maidin Abdul Kadir.

Katanya, mencari satu lagi kopi istimewa yang mempunyai perisa serta kualiti tersendiri merupakan tugas yang sukar.

Ia mengambil masa hampir tiga tahun untuk mendapatkan formula bagi adunan yang tepat serta teknik merendang untuk menghasilkan KopieSatu”, tambah Shikh Maidin.

Akhirnya, KopieSatu, yang diadun daripada campuran tiga jenis biji kopi Arabica yang diimport dari Indonesia, pertama kali muncul pada 2003 bersama enam menu kopi.

Perkenal rasa kepada orang ramai

KopieSatu diperkenalkan kepada umum di konvensyen-konvensyen kebangsaan dan peringkat negeri serta pameran seperti Hari Petani, Penternak dan Nelayan (HPPNK).

Untuk mengukur penerimaan antarabangsa, minuman itu juga dihidangkan pada acara sukan bermotor antarabangsa dan acara-acara sukan, termasuk pameran antarabangsa seperti acara dwi-tahunan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan baru-baru ini.

Di ibu pejabatnya, FAMA menjalankan sesi ujian rasa bersama pakar-pakar perasa kopi dan para diplomat untuk mendapatkan pendapat mereka berhubung perisa, warna dan aroma pelbagai kopi istimewa. Minuman ini menerima sambutan baik daripada mereka.

Hasil daripada penyelidikan insentif dan pembangunan produk, KopieSatu kini dihidangkan dalam 23 menu dengan slogan Good taste that comes to you (Rasa hebat yang datang kepada anda)

Galak penyertaan bumiputera

“Sebagai satu inisiatif untuk membangunkan sebuah pasaran bagi kopi Malaysia dan menggalakkan industri pertanian tempatan, KopieSatu merupakan platform paling baik untuk menceburi industri kopi bagi usahawan Bumiputera yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana,” kata Pengerusi FAMA Datuk Paduka Badruddin Amiruldin di pelancaran pengedaran KopieSatu di Restoran Seri Bidara di Bandar Sunway, baru-baru ini.

Restoran Seri Bidara merupakan kedai makan pertama menawarkan keseluruhan 23 menu KopieSatu. Pemiliknya, Ahmad Shafeez Ibrahim, 23, berkelulusan diploma dalam Pengurusan Perniagaan dan Seni Masakan, merancang untuk membuka lima lagi kedai kopi yang sama dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagi mereka yang berminat untuk turut serta dalam perniagaan KopieSatu, FAMA telah menyediakan tiga mod penyertaan yang disediakan khusus untuk memenuhi keperluan berbeza bagi mereka yang berminat dalam perniagaan minuman kopi.

Mereka yang baru mahu bermula mempunyai pilihan sama ada untuk melabur dalam satu warung tetap yang memerlukan pelaburan sebanyak RM35,000, atau pelaburan RM150,000 bagi karavan bergerak.

Selain daripada kiosk atau kenderaan bermotor dan pengubahsuaian bagi karavan; kos itu turut mengambil kira pakaian seragam, mesin untuk bru kopi, peralatan lain, dan latihan intensif seminggu bagi dua orang, yang dijalankan di Pusat Hab Operasi KopieSatu FAMA di Puchong.

Mereka yang sudahpun mempunyai kedai hanya perlu melabur RM30,000 bagi peralatan, pakaian seragam serta latihan sebelum mereka boleh menghidangkan KopieSatu di permis perniagaan mereka.

Bukan seperti jenama kopi gourmet yang lain, usahawan KopieSatu tidak dikenakan bayaran deposit francais yang tinggi.

Untuk memastikan setiap bru itu unggul dan kepuasan pada setiap cawan, kesemua kedai KopieSatu dilengkapi secara profesional Mesin Espresso Mairali yang dikilangkan di Singapura di bawah lesen Quality Espresso di Sepanyol. Bersama pakej pelaburan yang menarik ini, FAMA telah menetapkan sasarannya untuk mewujudkan 50 orang usahawan KopieSatu menjelang hujung tahun ini.

Dalam gaya hidup pesat hari ini, menikmati segelas kopi panas yang menyegarkan sambil membaca buku, mendengar muzik yang diminati atau berbual bersama rakan-rakan karib; mungkin sesuatu yang begitu hebat rasanya. Dengan lebih ramai pengguna menemui tahap kualiti dan perisa pada KopieSatu, banyak pertanyaan diterima daripada pelabur dan usahawan yang berminat.

Selain itu operasi peruncitan sedia ada merentasi kawasan-kawasan perumahan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang; termasuk agro-bazaar di kawasan R&R di sepanjang lebuh raya PLUS, FAMA telah menerima permintaan daripada Terengganu, Kelantan, Johor dan Sabah.

Terdapat rancangan untuk memperkenalkan KopieSatu di luar negara. Menurut Shikh Maidin, rundingan untuk memulakan sebuah kedai Kopiesatu di Perth, Australia sedang dijalankan.

“FAMA akan mencari jalan bersama Perbadanan Pembangunan Pelancongan (TDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk menggunakan kelebihan daripada Kempen Global Dapur Malaysia dan memperkenalkan KopieSatu di arena antarabangsa”, kata Badruddin.

Sementara itu, mereka yang berminat untuk menjadi usahawan KopieSatu boleh sama ada menghubungi terus ibu pejabat FAMA di 03-61262020 atau Pusat Operasi Hab FAMA di Puchong Jaya di 03-58824172. – BERNAMA

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung